Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nenek dengan 16 cucu di Ipoh ini gigih angkat tong gas demi cari rezeki

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Bukan calang-calang kudrat yang ada pada diri Cik Saparisah Abdul Rahman, 57 tahun apabila mampu mengangkat dan menghantar tong gas berisi petroleum cecair (LPG) dari rumah ke rumah hanya dengan menaiki motosikal demi kelangsungan perniagaan yang menjadi mata pencariannya sejak lebih 15 tahun lalu.

Cik Saparisah berkata tiada istilah rehat atau penat dalam kamus hidupnya untuk membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan pekerjaan itu, yang lazimnya jadi ‘hak milik’ lelaki.

“Saya terdetik untuk memulakan perniagaan ini selepas melihat adik saya mengusahakannya. Kerja saya bukan sekadar menjual malah mengangkat, menghantar dan memasang tong gas di rumah pelanggan.

“Semasa mula berniaga pada 2004, memang rasa tidak yakin untuk angkat tong gas seberat 12 dan 14 kilogram, tapi lama-kelamaan jadi terbiasa walaupun sakit pinggang semua ada,” katanya kepada Bernama.

Nenek kepada 16 cucu itu, yang selesa dipanggil Kak Zah berkata dengan menggunakan motosikal, beliau mampu membawa tiga tong gas pada satu-satu masa bagi memenuhi tempahan pelanggan di sekitar Taman Meru hingga Silibin dari kediamannya yang terletak kira-kira 15 minit dari pusat bandar raya.

Menurut Cik Saparisah walaupun ramai sedia maklum bahawa mengangkat dan menghantar gas adalah pekerjaan lelaki, beliau memilih untuk memekakkan telinga dan terus melihat ke depan demi membantu keluarga.

“Apabila saya menghantar gas, ada yang tanya awak perempuan larat ke angkat tong gas. Saya senyum dah teruskan kerja. Zaman ini kita tidak boleh memilih kerja, asalkan halal dan ada minat kita buat sahaja.

“Sebelum ini, saya pernah kerja sebagai pembuat pasu di kilang di Jalan Kuala Kangsar, tetapi selepas kilang tersebut tutup saya rasa bosan dan ingin mencari rezeki bagi membantu suami,” katanya, lapor Bernama.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata beliau memilih untuk berniaga gas kerana dapat menikmati gaji secara harian.

“Sehari saya dapat jual 30 hingga 40 tong gas, paling banyak 50 tong. Saya seronok kerana dapat duit tunai setiap hari untuk dijadikan modal pusingan. Jika kerja kilang, perlu tunggu sebulan baru dapat duit,” ujarnya.
Sumber : Bernama/HY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan