Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nelayan Johor ikhtiar lindungi periuk nasi sedang laut terjejas perubahan iklim

Perubahan tiupan angin dan corak pergerakan air akibat perubahan iklim, kini menjejas sektor perikanan Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:

TANJUNG KUPANG, JOHOR: Perubahan tiupan angin dan corak pergerakan air akibat perubahan iklim, kini menjejas sektor perikanan Malaysia.

Para nelayan di perkampungan di Tanjung Kupang, Johor kini sedang belajar menguruskan tempat haiwan dan tumbuh-tumbuhan hidup secara alami.

Ini bagi melindungi sara hidup nelayan sendiri.

SUMBER REZEKI TERJEJAS

Saban hari sejurus subuh, nelayan di Tanjung Kupang, Johor bergegas ke jeti,
membuat persiapan untuk ke laut sambil berdoa dalam hati agar cuaca terang dan laut tenang.

Mudah-mudahan hasil tangkapan akan lumayan.

Pak Ali sudah melaut lebih separuh usia beliau - yang kini mencecah 70 tahun.

Setiap hari, Pak Ali harus menjelajah lebih jauh dari pesisir.

Pak Ali. (Gambar: Facebook/ Kelab Alami)

Penduduk di kawasan Tanjung Kupang di Johor masih bergantung kepada laut sebagai sumber rezeki.

Sebilangan besar adalah nelayan yang ke laut di selat antara Malaysia dan Singapura.

Nelayan-nelayan itu selalunya melaut di persisir. Namun selama beberapa tahun, mereka menyedari bahawa cuaca tidak menentu dan arus mula berubah.

Ini memaksa mereka ke laut dalam untuk mencari rezeki.

Pak Ali berkata hasil tangkapan kini tidak selumayan dahulu.

"Air cuaca dia, air dia. Semua berubah. Dia tak tertentu macam dulu la musim. Ni nasib baik cuaca baik tau. Kalau tidak, macam dua hari lepas, cuaca ribut. Mereka nak pergi laut pun tak boleh. Banyak rasa dia. Arus kuat, jadi air besar, sampah banyak, itu yang jadi masalah nelayan," kata beliau.

Malah, sampah yang banyak menambah kepada kerja-kerja yang harus dilakukan. Misalnya, peralatan perlu dibersihkan dan jaring yang rosak harus diperbetulkan.

Pak Ali mengeluh masalah yang dihadapi nelayan semakin buruk sejak sedekad lalu.

Purata hasil tangkapan berkurang sehingga 20 peratus, menurutnya.

Jaring harus dibersihkan kerana sampah tersangkut. (Gambar: Facebook/Kelab Alami)

ANGKARA PERUBAHAN IKLIM

Demikian akibat perubahan iklim yang dialami langsung oleh para nelayan menurut saintis persekitaran, Dr Serina Rahman yang membuat kajian mendalam tentang kesan perubahan iklim kepada kehidupan laut dan masyarakat pesisir.

Sudah lebih 13 tahun beliau membuat kajian sehingga mendapat anugerah daripada masyarakat setempat.

Tekad Dr Serina membantu para nelayan membawa kepada penubuhan Kelab Alami.

Ia ditubuhkan bersama suami beliau – juga seorang nelayan setempat.

"Dengan perubahan cuaca, dengan kekuatan ribut sekarang Memang bahayalah untuk nelayan. Kami sebernarya tak tahu dalam 5 ke 10 tahun ada nelayan lagi ke tidak. Tetapi, Nelayan ni tidak boleh sembarang tukar bidang kerja. Jadi kita kena cari jalan untuk dia boleh teruskan pendapatan dia untuk hidup," kata beliau.

Kelab Alami bertujuan meningkatkan kesedaran tentang memelihara sekitaran dan penakatan kehidupan.

Masyarakat nelayan akur perlunya kajian yang mendalam serta usaha yang berterusan.

Tanpa pendekatan demikian, bak kata peribahasa “kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga.”  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan