Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nelayan Indonesia terkandas di pulau terpencil tanpa makanan, air selama 6 hari selepas dibadai Taufan Ilsa

Anggaran Waktu Membaca:
SYDNEY: Seramai 11 nelayan warga Indonesia berjaya diselamatkan selepas terkandas selama enam hari tanpa bekalan makanan atau minuman di sebuah pulau kecil di Australia.

Demikian menurut pihak berkuasa Australia pada Rabu (19 Apr).

Mereka dihanyutkan ke Pulau Bedwell, setelah bot yang dinaiki dibadai Taufan Ilsa pada minggu lalu ketika mereka sedang menangkap ikan di Lautan Hindi.

Lapan nelayan dikhuatiri masih hilang, menurut Penguasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).

Nelayan-nelayan tersebut memaklumkan pihak berkuasa bahawa dua kapal berdepan dengan taufan berkenaan, satu membawa 10 anak kapal manakala, kapal yang lain membawa sembilan orang. Menurut AMSA, kapal yang dinaiki 10 anak kapal itu dihanyutkan ke Pulau Bedwell sementara kapal kedua tenggelam ekoran cuaca buruk yang melanda.

Seorang lagi nelayan daripada bot yang kedua dihanyutkan ke darat selepas terapung selama 30 jam.

Pulau Bedwell adalah sebuah pulau terpencil yang tidak mempunyai sebarang sumber air tawar mahupun tempat berteduh semula jadi.

Kesemua nelayan itu diselamatkan oleh sebuah helikopter penyelamat pada lewat petang semalam setelah dikesan oleh pesawat pemantauan Pasukan Kawalan Sempadan Australia ketika melakukan rondaan.

Mereka kini sedang mendapatkan rawatan perubatan di tanah besar Australia dan akan pulang ke Indonesia setelah keadaan mereka beransur pulih.

Taufan Ilsa membadai Australia Barat pada Jumaat lalu (14 Apr), membawa bersamanya angin kencang yang belum pernah dialami negara itu.
Sumber : Reuters/HA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan