Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nelayan Gaza bergelut cari nafkah di bawah sekatan Israel

Demi menyara keluarga, nelayan Palestin, Mohammed al-Nahal sanggup meredah ombak besar, bergadai nyawa mengetuai sekumpulan bot membelah Laut Mediterranean di sebalik sekatan Israel di Carikan Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
Nelayan Gaza bergelut cari nafkah di bawah sekatan Israel

Nelayan palestin Mohammed al-Nahal (kanan) berserta kumpulannya bawa pulang hasil tangkapan mereka dekat pesisir Bandar Gaza. (Gambar: MAHMUD HAMS/AFP)

Diterbitkan : 24 Oct 2021 02:32PM Dikemas Kini : 24 Oct 2021 02:37PM

GAZA: Demi menyara keluarga, nelayan Palestin, Mohammed al-Nahal sanggup meredah ombak besar, bergadai nyawa mengetuai sekumpulan bot membelah Laut Mediterranean di sebalik sekatan Israel di Carikan Gaza.

Disebabkan sekatan Israel ke atas enjin berkuasa besar, kumpulan nelayan itu hanya mampu menangkap ikan di perairan cetek dengan bekalan sumber laut yang semakin berkurangan.

"Jika kami dapat menangkap 200 kilogram ikan sardin, itu sudah cukup memadai," kata Nahal. "Namun kami juga berisiko pulang dengan tangan kosong."

Harga petrol yang mahal turut menyukarkan operasi dan kumpulan nelayan terpaksa menelusuri lautan berhampiran pesisir pantai.

"Lebih jauh kami pergi, lebih mahal kos petrol tanpa sebarang jaminan akan mendapat hasil laut," kata Nahal yang mengetuai lima bot nelayan.

Bagi Gaza, sejak Hamas berkuasa pada 2007, tembok tiga bahagian dibina Israel menjadikan laut yang seakan satu tawaran kebebasan sekadar satu mimpi.

Tentera Laut Israel mengawal penuh perairan pesisir Gaza sepanjang 40 kilometer dan mengehadkan zon tangkapan ikan atas alasan keselamatan.

Selepas berbulan-bulan keadaan tenang susulan konflik 11 hari antara Hamas dan Israel pada Mei lalu, zon penangkapan ikan diperluaskan kepada 15 batu nautika pada bulan lalu.

Bagaimanapun Nahal dan kumpulannya tidak sanggup mengambil risiko pergi sejauh itu.

Bagi mereka, enam batu nautika sudah memadai bagi menangkap ikan sardin atau tuna.

"Sebagai nelayan, kami tidak memiliki enjin yang baik untuk pergi sejauh 15 batu nautika kerana buat masa ini kami tidak dibenarkan memiliki enjin sedemikian di Gaza," katanya.

Beberapa nelayan Palestin juga takut untuk pergi jauh ke tengah laut kerana beberapa insiden pernah berlaku sebelum ini apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka dan merosakkan pukat.

Kali ini, hasil tangkapan Nahal dan kumpulan nelayannya agak lumayan juga - setengah tan ikan habis dijual dalam masa 90 saat.

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan