Nekad saman anak, menantu AS$650,000 jika tidak timang cucu dalam setahun
Sepasang suami isteri di India menuntut pampasan sebanyak AS$650,000 (S$904,000) daripada anak lelaki serta menantu mereka jika kedua-duanya gagal untuk melahirkan zuriat dalam tempoh setahun.

Gambar hiasan: Pexels
NEW DELHI: Sepasang suami isteri di India menuntut pampasan sebanyak AS$650,000 (S$904,000) daripada anak lelaki serta menantu mereka jika kedua-duanya gagal untuk melahirkan zuriat dalam tempoh setahun.
Sanjeev Prasad Sinha, seorang pesara berusia 62 tahun, dan isterinya, Sadhana Prasad Sinha, memberitahu BBC mereka sudah berhabis wang simpanan untuk membesarkan anak lelaki mereka. Ini termasuk membiayai kos bagi program latihan juruterbang anak lelaki mereka itu serta menganjurkan majlis perkahwinan serba mewah untuknya.
Pasangan warga emas dari Uttarakhand itu kini menuntut pampasan yang turut meliputi kos majlis perkahwinan di sebuah hotel lima bintang, kereta mewah bernilai AS$80,000 (S$111,300) serta perbelanjaan untuk bulan madu.
"Anak lelaki saya sudah mendirikan rumah tangga selama enam tahun tetapi mereka masih tidak merancang untuk menimang cahaya mata.
“Sekurang-kurangnya kalau kami ada seorang cucu untuk meluang masa bersama, keperitan kami akan dapat ditanggung.
“Kami juga terpaksa mengambil pinjaman untuk membangunkan rumah kami dan sekarang, kami sedang menanggung beban kewangan yang banyak," Encik Sinha membuka pekung di dada.
“Dari segi mental, kami agak terganggu kerana kami tinggal sendirian," pasangan warga tua itu memberitahu The National.
Pasangan itu menambah "masyarakat" juga kerap mengajukan pertanyaan kepada mereka tentang kehadiran cucu dan ini menyebabkan mereka lebih tertekan.
Peguam yang mewakili Encik Sinhas dan isterinya, Arvind Kumar Srivastava, berkata pasangan warga tua sudah membelanjakan sekitar 25 juta rupee (S$449,000) ke atas anaknya sejak lahir lagi. Ini tidak termasuk perbelanjaan seperti menganjurkan majlis perkahwinan anaknya itu.
“Mereka menuntut wang tersebut disebabkan kekejaman mental.
“Ia adalah impian setiap ibu bapa untuk menjadi datuk dan nenek. Mereka sudah menunggu sekian lama untuk bergelar datuk dan nenek," peguam itu memberitahu portal-portal berita.
Menurut Encik Srivastava lagi, anak guamnya sudahpun memfailkan satu rayuan pada Sabtu lalu (7 Mei) dan kes tersebut akan dibicarakan di mahkaman di bandar Dehradun, India, pada 15 Mei.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.