Skip to main content

Dunia

Negeri Sembilan dilanda banjir; jumlah mangsa di Kelantan, Terengganu terus meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Negeri Sembilan dilanda banjir; jumlah mangsa di Kelantan, Terengganu terus meningkat

Gambar fail: Bernama

Diterbitkan : 24 Dec 2023 12:32PM
KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan menjadi negeri terbaharu dilanda banjir, manakala keadaan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu terus meningkat pada Ahad pagi (24 Dis).

Di Negeri Sembilan, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban dalam kenyataan memaklumkan sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng susulan banjir kilat yang berlaku 1.30 pagi Ahad.

“Seramai 68 mangsa daripada 16 keluarga dari Kampung Chelogeh, Kampung Batu 18 dan Kampung Sungai Jai ditempatkan di PPS tersebut. Trend air sungai mulai menunjukkan penurunan namun keadaan arus masih deras," menurut kenyataan itu.

Di Kelantan pula, jumlah mangsa meningkat kepada 856 orang daripada 235 keluarga setakat 9.00 pagi, berbanding 778 mangsa daripada 215 keluarga pada Sabtu malam.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Kelantan, jajahan Jeli dan Tanah Merah menjadi kawasan terbaru dilanda banjir selepas Pasir Mas.

Jumlah mangsa banjir gelombang ketiga di Terengganu turut dilaporkan meningkat kepada 340 orang daripada 91 keluarga setakat 10.00 pagi ini, berbanding 102 orang daripada 25 keluarga yang dicatatkan pada 8.00 pagi tadi.

Menurut sekretariat JPBN Terengganu sebanyak enam PPS dibuka di tiga daerah terlibat iaitu Dungun, Setiu dan Marang.

Di Dungun, seramai 303 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu di SK Pusat, Dewan Serbaguna Kampung Shukor, Balairaya Bembam dan Dewan Orang Ramai Pasir Raja.

Di Marang pula, seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga berlindung di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai sementara di Setiu, 25 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke Balairaya Kampung Seladang.

Sementara itu, laman publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan empat sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita