Negara Teluk, Asia perlu berwaspada terhadap ekstremisme, tegas Hishammuddin
Negara-Negara Teluk dan Asia perlu berwaspada dalam memerangi ekstremisme serta tidak harus mengalihkan pandangan daripada peperangan ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Tun Hussein.
Gambar: Facebook/Hishammuddin Hussein
KUALA LUMPUR: Negara-Negara Teluk dan Asia perlu berwaspada dalam memerangi ekstremisme serta tidak harus mengalihkan pandangan daripada peperangan ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata perkembangan di Afghanistan mungkin menjadi pencetus semangat kepada kumpulan-kumpulan militan yang tidak aktif di Asia Tenggara, sekali gus menimbulkan kebimbangan kedua-dua rantau akan menjadi syurga buat pengganas yang mencari pangkalan baru.
Menurut Hishammuddin, ketika dunia menumpukan perhatian kepada peperangan melawan COVID-19, tindakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa keganasan dan ekstremisme sudah tidak begitu penting, namun pemerintah di seluruh dunia tidak harus membiarkan perkara ini mengaburi pandangan mereka serta membuai mereka dengan rasa selamat yang palsu.
“Ketika puak pelampau ini merasakan perhatian kita telah teralih maka pada saat itulah mereka akan bertindak memperhebat niat jahat mereka,” katanya dalam ucapan yang disampaikan secara maya di Sesi Pleno Kedua Dialog Manama anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISS) yang berlangsung di Bahrain pada Sabtu (20 Nov).
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Luar Negeri bagi Kerajaan Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud, Penasihat Keselamatan Negara bagi United Kingdom Sir Stephen Lovegrove dan Ketua Pengarah merangkap Ketua Eksekutif ISS Dr John Chipman.
Hishammuddin juga berkata kedua-dua rantau berpeluang menempa masa depan yang lebih baik bersama-sama dalam landskap global baru apabila dunia beralih ke fasa endemik.
Beliau berkata Negara-Negara Teluk dan Asia harus mencari persamaan dan memupuknya merentasi pelbagai sektor sebagai dua rantau yang dihubungkan oleh begitu banyak persamaan.
“Kita perlu bekerja keras ketika ini dalam usaha menjamin masa depan yang kita inginkan untuk anak cucu kita. Kita perlu melakukannya untuk diri sendiri demi membina asas yang kukuh buat wawasan masa depan bersama ini.
“Kita harus mampu melakar nasib sendiri secara bersama. Kita harus mengelak daripada ditarik ke arah yang berbeza dan menempa keunikan dalam wawasan,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.