Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Negara kecil perlu lindungan dagangan, Dr Mahathir gesa TPP disemak, EAEC dihidupkan semula

Gagasan Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC) perlu ditubuhkan menyusuli perlindungan perdagangan yang semakin meningkat oleh negara seperti Amerika Syarikat, kata Perdana Menteri Malaysia itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jun 2018 06:35PM Dikemas Kini : 12 Jun 2018 01:37AM

TOKYO: Gagasan Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC) - yang pertama kali ketengahkan Dr Mahathir Mohamad pada 1997 - perlu ditubuhkan menyusuli perlindungan perdagangan yang semakin meningkat oleh negara seperti Amerika Syarikat, kata Perdana Menteri Malaysia itu.

Menyatakan beliau masih berminat dengan perundingan itu, Dr Mahathir berkata sebelum ini, cadangan itu tidak diteruskan berikutan bantahan daripada Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun, Amerika kini sudah kembali semula kepada pemencilan, negara itu tidak berada dalam kedudukan untuk menuntut supaya kita tidak menubuhkan EAEC. Oleh itu, kita perlu menimbang pembentukan EAEC secara lebih serius,” katanya semasa Persidangan Nikkei ke-24 di Jepun hari ini (11 Jun).

Beliau berkata cadangan zon perdagangan bebas serantau itu bukan sahaja melibatkan negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara tetapi juga negara seperti India dan negara lain di Asia Tengah.

Dr Mahathir kini melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun.

KEUPAYAAN NEGARA BERBEZA-BEZA

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan negara yang berlainan perlu mendapat layanan yang berbeza apabila berkaitan dengan perdagangan bebas.

Ini, jelasnya, terdapat negara yang mungkin memerlukan perlindungan berikutan mereka tidak dapat bersaing dengan negara dagangan utama dunia disebabkan kelemahan tertentu atau kekurangan keupayaan.

Dr Mahathir juga berkata beliau tidak begitu berminat dengan perjanjian Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) berikutan ia akan membawa kesan kepada Malaysia.

"Bagaimanapun, dalam organisasi baru di Asia Timur, kita akan mempunyai pertubuhan perdagangan bebas," katanya, sambil menegaskan negara yang mempunyai keupayaan yang berbeza-beza untuk bersaing, perlu diberikan pertimbangan yang wajar.

"Ia seperti bermain golf, apabila anda bermain golf, anda memerlukan handicap dengan pemain paling lemah mendapat handicap paling tinggi, supaya persaingan itu lebih adil," jelasnya.

NEGERA KECIL TIDAK DAPAT BERSAING

Mengenai perdagangan bebas, Perdana Menteri berkata ternyata beberapa negara maju mendapati perdagangan bebas tidak begitu diterima, memetik Amerika yang mahu melindungi perdagangannya.

"Jika Amerika, sebuah negara besar dengan ekonomi terbesar di dunia... percaya kepada sekatan perdagangan, ia tidak wajar.

"Bagaimanapun, bagi negara kecil ia wajar kerana mereka tidak dapat bersaing pada kedudukan yang sama seperti negara-negara besar yang lain," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau menyokong satu kumpulan tunggal dari seluruh dunia yang tertakluk kepada piawai yang sama selain memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada kelemahan dan kekuatan negara lain.

Mengenai China, Dr Mahathir berkata pasarannya yang besar ternyata menarik negara lain termasuk Asia Tenggara.

"Kita mahu akses ke pasaran ini. Oleh itu, kita perlu berurusan dengan China sama ada kita suka atau tidak," katanya, sambil menambah cara terbaik adalah berusaha dan berunding sebagai sebuah kumpulan berbanding negara individu.

"Sebagai (negara) individu, kita tidak boleh berharap untuk menyakinkan China apa-apa. Tetapi, jika seluruh Asia Tenggara (misalnya) melalui EAEC untuk berunding dengan China...saya fikir China akan bersetuju," katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan