Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Negara Islam ada kebolehan tetapi tiada kemahuan untuk bersaing, kata PM Mahathir

Negara-negara Islam mempunyai kebolehan dan kekuatan serta mampu bersaing dengan negara maju yang lain namun, tidak mempunyai kemahuan untuk melakukannya. Demikian kata Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Negara Islam ada kebolehan tetapi tiada kemahuan untuk bersaing, kata PM Mahathir

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Nov 2019 12:32PM Dikemas Kini : 30 Nov 2019 12:33PM

KUALA LUMPUR: Negara-negara Islam mempunyai kebolehan dan kekuatan serta mampu bersaing dengan negara maju yang lain namun, tidak mempunyai kemahuan untuk melakukannya. Demikian kata Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perkara itu menyebabkan mereka dilihat lemah dan mengakibatkan umat Islam terus ditindas, dikuasai selain dizalimi oleh orang lain.

“Dengan jumlah 52 negara Islam di dunia ini, tidak ada satu pun dianggap negara maju. Apakah ini kerana larangan daripada agama kita supaya kita tidak maju? Apakah ini bermakna bahawa orang beragama Islam tidak maju, tidak dibenarkan maju?," soal Dr Mahathir.

“Saya ingin jelaskan bahawa kita mampu bersaing dengan mereka. Kita sama dengan orang asing ini…daripada segi kebolehan akal fikiran tapi kita tidak gunakan kurniaan Allah SWT itu dengan cara baik, dengan cara yang membolehkan kita melindungi agama Islam,” ujar beliau lanjut.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-58 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) hari ini (30 Nov).

Mengambil contoh Korea Selatan, Dr Mahathir berkata negara itu yang suatu masa dahulunya berada di belakang Malaysia dari segi pembangunan pentabdiran kini berdiri jauh di hadapan dengan pendapatan per kapitanya tiga kali ganda daripada Malaysia.

Perkara itu, antara lain, didorong faktor penguasaan ilmu khususnya berkenaan pembangunan industri sehingga menjadikan Korea Selatan salah satu negara termaju di dunia.

"Apabila saya bandingkan negara kita dengan Korea, dengan negara-negara Islam yang lain, saya berasa amat kecewa kerana kebolehan kita tidak kurang. Tapi oleh kerana kesilapan kita membuat tafsiran tertentu maka kita tidak dapat capai kemajuan seperti Korea dan lain-lain.

"Saya berpendapat yang salah bukan agama kita...agama tidak larang kita cari kekayaan asalkan kita mencari kekayaan secara halal dan kita guna kekayaan kita untuk bersedekah bagi membantu mereka yang lemah," ujar Dr Mahathir.

Sebenarnya, tambah beliau, segala konflik yang melanda di negara-negara Islam ketika ini boleh diselesaikan jika kembali kepada ajaran sebenar berpandukan kepada Al-Quran.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan