Negara enggan terima ketetapan PBB perlu disingkir: PM Anwar
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mencadangkan agar mana-mana negara yang enggan mengiktiraf ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu disingkirkan daripada badan dunia itu.

(Gambar fail: Philip Fong/AFP)
Tanpa menyebut nama mana-mana negara, tetapi merujuk kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, Encik Anwar berkata mengusir negara tersebut adalah satu-satunya pilihan yang ada.
"Kita berdepan dengan situasi yang kompleks kerana penolakan Israel untuk memberikan bantuan kemanusiaan sehingga berlaku pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Kita telah mengambil pendirian yang sangat tegas dalam hal ini, untuk membantah dengan serius. Sebenarnya, saya telah mengemukakan idea bahawa apabila sesebuah negara menolak untuk mengiktiraf peraturan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB, satu-satunya pilihan adalah untuk menyingkirkan mereka dari PBB.
“Ada pandangan yang perlu dipertimbangkan, tetapi saya faham betapa kompleksnya situasi ini kerana seperti yang Presiden (El-Sisi) katakan, keutamaan beliau adalah untuk menghentikan permusuhan,” katanya pada sidang media bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi selepas pertemuan dua hala di Istana Al-Ittihadiya di sini pada hari Ahad (10 Nov).
Terdahulu, Encik Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Encik Abdel Fattah sempena lawatan rasmi empat hari beliau ke Mesir yang bermula pada Sabtu (9 Nov).
Beliau turut mengucapkan terima kasih mewakili rakyat Malaysia kepada Presiden Mesir dan rakyat Mesir atas bantuan mereka dalam memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia kepada Palestin di Gaza berjalan lancar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.