Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Negara Asia ketatkan langkah COVID-19 ekoran kebimbangan varian baru

Negara-negara di Asia dengan pantas mengetatkan sekatan selepas varian koronavirus yang baru dan berkemungkinankebal vaksin dikesan di Afrika Selatan. Singapura dan India mengumumkan kawalan sempadan yang lebih ketat dan ujian COVID-19 lebih menyeluruh pada Jumaat (26 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Negara Asia ketatkan langkah COVID-19 ekoran kebimbangan varian baru

Gambar fail Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, di New Delhi, India pada 15 Nov 2021. (Gambar: AP/Rishi Lekhi)

Diterbitkan : 26 Nov 2021 05:46PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 05:51PM

SINGAPURA: Negara-negara di Asia dengan pantas mengetatkan sekatan selepas varian koronavirus yang baru dan berkemungkinankebal vaksin dikesan di Afrika Selatan. Singapura dan India mengumumkan kawalan sempadan yang lebih ketat dan ujian COVID-19 lebih menyeluruh pada Jumaat (26 Nov).

Para saintis masih berusaha mengetahui lebih lanjut mengenai varian baru itu, yang pertama kali dikenal pasti pada awal minggu ini. Namun berita itu menjejas pasaran kewangan pada Jumaat, dengan saham di Asia mengalami kejatuhan paling besar dalam tempoh tiga bulan dan minyak menjunam lebih tiga peratus.

Varian itu, yang dipanggil B.1.1.529, juga dikesan di Botswana dan Hong Kong, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK.

Bimbang terhadap varian itu, Britain melarang sementara penerbangan dari Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Lesotho dan Eswatini mulai Jumaat, dan mengarah penduduk Britain yang pulang dari destinasi-destinasi itu supaya menjalani kuarantin.

Singapura menyusul tidak lama kemudian, dengan Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan ketibaan dari Afrika Selatan dan negara-negara berdekatan disekat sebagai langkah berjaga-jaga.

Kerajaan Jepun juga memutuskan untuk mengetatkan kawalan sempadan bagi pelawat dari Afrika Selatan dan lima negara Afrika lain, lapor agensi berita Jiji. Kementerian luarnya tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mengulas lanjut keputusan tersebut.

Selepas melonggarkan sebahagian sekatan perjalanannya awal bulan ini, pemerintah pusat India mengeluarkan nasihat kepada semua wilayah untuk menguji dan menjalankan saringan menyeluruh terhadap pelancong antarabangsa dari Afrika Selatan dan negara "berisiko" lain.

Negara-negara Asia bernasib lebih baik berbanding negara-negara di rantau lain dalam membendung pandemik itu dengan menguatkuasakan langkah sekatan, ujian dan kawalan sempadan yang ketat.

Varian baru itu mempunyai protein spike yang berbeza dengan sangat ketara berbanding koronavirus asal. Vaksin-vaksin COVID-19 sedia ada adalah berdasarkan koronavirus asal, jelas Agensi Keselamatan Kesihatan UK.

Taiwan menyatakan pelawat dari negara Afrika selatan yang "berisiko tinggi" perlu menjalani kuarantin di kemudahan khas kendalian pemerintah selama 14 hari.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern memberitahu Reuters bahawa negaranya sudah bersedia menangani varian baru itu. Awal minggu ini, New Zealand mengumumkan akan membuka semula sempadannya kepada pelancong antarabangsa yang sudah lengkap divaksin mulai 30 April.

Ditanya sama ada rancangan itu perlu ditangguhkan akibat varian baru itu, Cik Ardern berkata negara itu mempunyai "beberapa langkah sedia ada untuk bertindak sebagai lapisan perlindungan."

"Semua perancangan kami berhubung COVID-19, mengambil kira kemungkinan varian baru pada masa hadapan," kata Cik Ardern dalam temu bual bagi persidangan Reuters Next yang akan datang.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan