Negara Arab, Islam tolak pelan Israel buka semula Lintasan Rafah jika hanya sehala
Ambulans dari Mesir melalui lintasan sempadan Rafah menuju ke Carikan Gaza pada 1 Februari 2025, untuk mengangkut pesakit Palestin keluar dari Gaza sebaik sahaja pintu masuk utama dibuka semula sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata. (Gambar: Kerolos Salah / AFP)
Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar Amiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Turki, Arab Saudi dan Qatar menolak sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa, serta menggesa supaya pelan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dipatuhi, yang menurut mereka, memerlukan Lintasan Rafah kekal dibuka dua hala bagi memastikan kebebasan pergerakan penduduk Gaza.
Kenyataan itu menegaskan bahawa pelan itu bertujuan memastikan rakyat Palestin kekal di tanah air mereka dan terlibat dalam usaha membina semula tanah air, selain memulihkan kestabilan dan memperbaiki keadaan kemanusiaan.
Menteri-menteri berkenaan turut menekankan kepentingan mengekalkan gencatan senjata, mengurangkan penderitaan orang awam, memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, serta memulakan usaha pemulihan awal dan pembinaan semula.
Mereka juga menyorot keperluan mewujudkan keadaan yang membolehkan Penguasa Palestin menyambung semula tanggungjawab mentadbir Gaza bagi menyediakan asas keselamatan dan kestabilan lebih kukuh.
Israel mengumumkan pada Rabu (3 Dis) bahawa ia akan membuka semula lintasan itu dalam beberapa hari lagi di bawah perjanjian gencatan senjata Oktober dengan Hamas, tetapi menyatakan bahawa operasinya hanya sehala, membenarkan penduduk Palestin keluar dari Gaza tetapi tidak kembali.
Pemerintah Mesir menafikan sebarang penyelarasan dengan Israel mengenai pembukaan semula itu.
Lintasan berkenaan hampir selamanya ditutup sejak Mei 2024 apabila tentera Israel mengambil alih bahagian Palestin. Sebelum itu, ia merupakan laluan keluar utama bagi penduduk Palestin dan pintu masuk penting bagi bantuan kemanusiaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.