Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nazri Sutari sambut Aidilfitri di Serbia demi Sukan SEA

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Atlit tinju tendang atau 'kickboxer' negara Nazri Sutari terlepas menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang untuk tahun kedua berturut-turut.

Nazri sedang giat berlatih di Surcin, Serbia sebagai persiapan untuk Sukan SEA yang bakal berlangsung di Phnom Penh antara 5 hingga 17 Mei.

Beliau mengakui terkenangkan kemeriahan lebaran di Singapura dan masakan ibunya.

"Tiada langsung suasana Hari Raya di sini kerana majoriti penduduk di sini beragama Kristian. Saya sekadar membuat panggilan Zoom bersama keluarga sebelum ke pusat latihan," kongsi Nazri kepada BERITAmediacorp.

Bapanya Encik Sutari Waghi berkata anaknya yang kedua itu merindui masakan Hari Raya ibunya.
"Pagi raya tu dia sedih. Dia buat panggilan dan berkata dia makan seorang diri di tempat penginapan. Saya pun tidak tahu apa yang dia makan. Kami di sini makan sedap-sedap. Ini satu pengorbanan," kata Encik Sutari.

Nazri bagaimanapun enggan terlalu memikirkan kesedihan berjauhan daripada keluarga dan teman-teman.

Nazri berada di Serbia seorang diri sejak 24 Mac untuk berlatih bersama Aleksander Topic, seorang jurulatih pasukan kebangsaan Serbia.

Untuk ke sana, Nazri mengorbankan pendapatan sebagai jurulatih di Sutari Martial Arts (SMA), yang beliau tubuhkan pada Januari tahun ini.

Perbelanjaan latihan di Serbia berjumlah sekitar S$10,000 termasuk kos tiket penerbangan, sewa penginapan, yuran jurulatih dan perbelanjaan harian.

Beliau juga berjaya meraih kira-kira S$2,000 menerusi kempen pendanaan awam atau 'crowd funding'.

Menurut Nazri, beliau turut mendapat sokongan dalam bentuk geran latihan daripada Majlis Sukan Singapura (SportSG).

Ini merupakan kali ketiga beliau menjalani latihan di Serbia.

Gambar: Nazri Sutari
"Tahap latihan di Serbia memang betul-betul lain daripada apa yang sudah saya alami di Singapura, atau negara-negara lain. Kalau di sini, sosok tubuh saya yang paling kecil tetapi tidak mengapa kerana seronok juga. Ada banyak yang saya pelajari kerana saya dapat berlatih bersama beberapa juara dunia tinju tendang.

Mereka termasuk juara Piala Eropah Lazar Stupar dan Nikola Cvetkovic yang merupakan Juara Kanan Piala Eropah, (Kelas A) Nikola Cvetkovic,

Nazri memenangi pingat emas dalam acara sambo kombat bawah 82 kilogram di Sukan SEA Manila pada Disember 2019.

Namun beliau gagal mengulangi prestasi emas di Hanoi, Vietnam pada tahun lalu.

Ini selepas beliau tewas 1-2 kepada atlit Kemboja Chhoeung Lvay dalam suku akhir acara Tendang Rendah Bawah 71 Kilogram Lelaki

Nazri sekali lagi meletakkan harapan tinggi dapat meraih pingat emas pertama Singapura dalam tinju tendang di Kemboja nanti.

"Saya perlu memperbaiki strategi dan taktik supaya saya boleh dapat sesuaikan diri mengikut rentak perlawanan dengan lebih baik," kata Nazri.

Menurut Nazri, beliau amat menghargai sokongan Persekutuan Tinju Tendang Singapura (KFS), jurulatih sukan tanding lain seperti ketua jurulatih pencak silat nasional, Sheik Alau'ddin Yaacob Marican, jurulatih Persekutuan Muay thai Singapura Robert Yap dan keluarganya.

"Dia mesti nak menang juga. Dia korbankan kerjaya sebagai jurulatih di Singapura semata-mata untuk mengikuti latihan di Serbia," kata Encik Sutari dengan nada penuh bangga.

Nazri akan berada di Serbia sehingga 9 Mei sebelum menyertai rombongan Team Singapore bagi Sukan SEA ke-32.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan