Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nasi lemak, durian jadi 'rebutan' Minggu Makanan M'sia di Beijing

Anggaran Waktu Membaca:
BEIJING: Nasi lemak, durian dan sate adalah antara makanan popular Malaysia yang menjadi ‘rebutan’ rakyat China khususnya di Beijing dan masyarakat kedutaan sempena ‘Malaysia Truly Asia Festival 2022 Food Week’ di Beijing bermula pada Khamis (25 Ogos).

Zhou Xin, 55 tahun dari Beijing yang mengetahui program berlangsung hingga Selasa ini (30 Ogos) daripada rakannya berkata beliau rambang mata apabila melihat pelbagai jenis makanan yang baginya kelihatan menarik dan mempunyai rasa berbeza.

Sambil teruja menunjukkan sebiji durian, Encik Zhou turut menyuarakan hasratnya untuk berkunjung ke Malaysia selepas sempadan negaranya dibuka sepenuhnya.

"Saya tidak pernah ke Malaysia. Ke mana sahaja saya pergi, saya akan cuba menikmati setiap makanan di tempat itu. Saya sangat teringin ke Malaysia. Jika rakan rakyat Malaysia boleh membantu saya mencari makanan di sana nanti, saya rasa kunjungan saya sememangnya berbaloi,” katanya yang sempat menikmati nasi ayam dan nasi lemak.

Kira-kira 200 orang menghadiri program di China World Hotel, di tengah-tengah ibu kota Beijing pada Khamis (25 Ogos), dengan lebih 50 aneka makanan dan kuih-muih tradisi Malaysia dihidangkan secara layan diri.

Antara menu yang turut dihidangkan sepanjang minggu makanan berkenaan ialah nasi tomato, nasi ayam Ipoh, rendang daging, roti jala, roti canai, ais kacang, kuih ketayap, kuih seri muka dan kuetiau goreng.

Duta Austria ke China, Andreas Riecken berkata beliau mendapati produk berasaskan durian seperti aiskrim dan tiramisu sangat sedap dan unik serta harus dicuba rakyat China yang datang ke minggu makanan berkenaan.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke China, Nushirwan Zainal Abidin yang melancarkan program itu berkata ia merupakan jendela untuk rakyat China mengenali Malaysia dengan lebih dekat terutama dari aspek makanan.

“Kita mahu mereka merasakan makanan yang betul-betul asli dan boleh membangkitkan hasrat mereka untuk datang ke Malaysia setelah sempadan China dibuka sepenuhnya,” katanya lagi.

Minggu makanan berkenaan merupakan sebahagian daripada program Malaysia Truly Asia Festival 2022 yang dianjurkan Kedutaan Malaysia di China, Tourism Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia (MAYCHAM) di China bermula 15 hingga 31 Ogos ini bersempena Hari Kebangsaan.

Selain minggu makanan, antara program lain yang dianjurkan adalah Pameran Seni Peranakan serta Forum Kesihatan dan Nutrisi Minyak Sawit ke-17, manakala majlis resepsi bersempena Hari Kebangsaan pula akan diadakan pada 31 Ogos ini.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan