NASA dan China ganding bahu teroka misi ke bulan
Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat dan China sedang menyelaraskan usaha bagi misi penjelajahan bulan, menurut NASA pada Jumaat (18 Jan).
Kerjasama antara NASA dengan China boleh membantu angkasawan bersiap sedia untuk misi ke bulan. (Gambar: Robyn Beck/AFP)
WASHINGTON: Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat dan China sedang menyelaraskan usaha bagi misi penjelajahan bulan, menurut NASA pada Jumaat (18 Jan).
NASA mengumumkan demikian sedang ia meneliti satu rangka kerja perundangan yang bermatlamat melindungi keselamatan negara dan mencegah peralihan teknologi kepada China.
"Dengan kelulusan yang diperlukan daripada Kongres, NASA sudahpun mengadakan perbincangan dengan China untuk meninjau-ninjau kemungkinan memperhatikan pendaratan kapal angkasa Chang'e 4 menggunakan peralatan kapal angkasa kami @NASAMoon," kata Pentadbir Bersekutu Misi Sains NASA, Thomas Zurbuchen, menerusi catatan di Twitter.
Catatan beliau mengesahkan kenyataan serupa oleh Timbalan Ketua Komander Program Penjelajahan Bulan China, Wu Yanhua, pada Isnin (14 Jan).
NASA mengongsi maklumat yang diperolehi daripada satelit Amerika Syarikat manakala China pula akan menyediakan maklumat mengenai garisan lintang dan bujur serta waktu pendaratan "yang kena pada masanya," katanya.
Lunar Reconnaissance Orbiter (LRO) NASA sebelum ini diharap dapat menyaksikan pendaratan bersejarah oleh kapal angkasa China itu pada 3 Januari.
NASA menyediakan laluan orbit LRO kepada China, namun kapal angkasa itu didapati tidak berada di lokasi yang tepat pada masanya.
Menurut NASA, pemerhatian seumpama itu boleh membantu para angkasawan mempersiapkan diri untuk misi-misi ke bulan pada masa akan datang.
Agensi itu turut menyatakan bahawa ia akan mengongsi hasil kerjasama itu dengan masyarakat penyelidikan sejagat pada Februari semasa perhimpunan angkasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Austria.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.