Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

NASA buka permohonan tinggal di planet Marikh selama setahun

Sebagai persiapan untuk menghantar angkasawan ke planet Marikh, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika (NASA) membuka permohonan bagi empat individu untuk tinggal selama setahun di Mars Dune Alpha.

Anggaran Waktu Membaca:

AMERIKA SYARIKAT: Sebagai persiapan untuk menghantar angkasawan ke planet Marikh, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika (NASA) membuka permohonan bagi empat individu untuk tinggal selama setahun di Mars Dune Alpha, sebuah kemudahan seluas 1,700 kaki persegi yang dibina menggunakan teknologi percetakan 3D dalam bangunan Pusat Angkasa Johnson di Houston.

Kumpulan sukarelawan itu akan menjalani misi penerokaan planet Marikh bersimulasi, lengkap dengan peluang berjalan di angkasa atau 'space walk'.

Tiga eksperimen dirancang oleh NASA dengan yang pertama akan dilaksanakan mulai musim luruh pada tahun depan.

"Kami ingin memahami bagaimana manusia dapat berfungsi di dalamnya. Kami mahu melihat keadaan sebenar di Marikh," kata Ketua Saintis Grace Douglas.

Proses permohonan dibuka pada Jumaat lalu (6 Ogos) dengan syarat pemilihan yang sangat ketat.

Antara lain, para pemohon perlu memiliki ijazah sarjana dalam bidang sains, kejuruteraan atau matematik atau mempunyai pengalaman sebagai seorang juruterbang.

Permohonan juga hanya dibuka kepada warga atau penduduk tetap Amerika Syarikat yang berusia antara 30 hingga 55 tahun, mempunyai kesihatan fizikal yang baik tanpa masalah diet serta tidak mempunyai masalah mabuk perjalanan.

Bekas angkasawan Kanada, Chris Hadfield berkata bahawa dengan syarat-syarat permohonan yang begitu ketat, NASA sebenarnya sedang mencari individu yang hampir serupa dengan seorang angkasawan.

"Lebih baik mencari individu yang menyamai angkasawan sebenar untuk ke Marikh. Usaha Rusia dalam misi olok-olok ke Marikh yang disebut sebagai Mars 500, gagal kerana individu yang dipilih adalah mereka dalam kalangan orang biasa," katanya.

Malah Hadfield yang sudah menghabiskan lima bulan di orbit pada tahun 2013 di Stesen Angkasa Antarabangsa, yakin jika individu yang tepat dipilih untuk menyertai program tersebut, ia akan menjadi pengalaman yang luar biasa untuk mereka.

"Bayangkan berapa banyak filem di Netflix yang boleh ditonton. Sekiranya mereka memiliki alat muzik, mungkin mereka akan keluar dari situ sebagai seorang pemuzik yang hebat," katanya.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan