Skip to main content

Dunia

'Naratif kebencian' dari luar negara pecah-belahkan masyarakat Myanmar: Suu Kyi

Cik Suu Kyi juga menekankan perlunya pendekatan yang memandang ke depan untuk menyelesaikan masalah itu, menurut kenyataan media di laman Facebook beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
'Naratif kebencian' dari luar negara pecah-belahkan masyarakat Myanmar: Suu Kyi

(Gambar: Kham/ Reuters)

Diterbitkan : 21 Jun 2018 04:49PM Dikemas Kini : 21 Jun 2018 04:54PM

YANGON: "Naratif kebencian" dari luar negara memecah-belahkan lagi masyarakat di Myanmar. Demikian menurut pemimpin negara itu Aung San Suu Kyi, dalam satu kenyataan di media sosial pada hari Khamis (21 Jun).

Kesabaran dan masa diperlukan untuk memulihkan kepercayaan dalam masyarakat. Cik Suu Kyi memberitahu demikian kepada seorang utusan khas dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar, Cik Christine Schraner Burgener, pada Rabu (20 Jun). Demikian menurut kenyataan di laman Facebook pemenang hadiah Nobel itu.

Sejak Ogos lalu, hampir 700,000 Muslim Rohingnya dari wilayah Rakhine yang kebanyakan penduduknya penganut Buddha, melarikan diri ke Bangladesh berikutan tindakan ketenteraan terhadap serangan pemberontak Rohingya, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi-agensi bantuan.

Ramai melaporkan kes-kes pembunuhan, rogol dan pembakaran secara besar-besaran. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan kempen itu sebagai contoh "pembersihan etnik", satu dakwaan yang dinafikan Myanmar.

Cik Suu Kyi juga menekankan perlunya pendekatan yang memandang ke depan untuk menyelesaikan masalah itu, menurut kenyataan media di laman Facebook beliau. Encik Zaw Htay, seorang jurucakap pemerintah, tidak segera memberi respons kepada permintaan Reuters untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh Cik Suu Kyi.

Dalam catatan Facebook dan Twitter sejak Ogos, pemerintah Cik Suu Kyi menunjukkan sokongan kepada orang bukan Islam yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan dan menyalahkan masyarakat antarabangsa kerana mengedarkan "berita palsu" mengenai dakwaan pelanggaran hak-hak kemanusiaan.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita