Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nama wanita ini akan membuat anda tersenyum

Gara-gara namanya yang unik, wanita ini pernah pulang ke rumah dalam keadaan menangis dan merayu supaya bapanya menukar namanya kerana tidak tahan diejek oleh rakan sebaya semasa usia kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:

SEREMBAN: Gara-gara namanya yang unik, wanita ini pernah pulang ke rumah dalam keadaan menangis dan merayu supaya bapanya menukar namanya kerana tidak tahan diejek oleh rakan sebaya semasa usia kanak-kanak.

Namun itu kisah lama, kini wanita yang bernama Senyum Ujang itu sudah mencecah usia 70 tahun.

Nama yang dahulu menjadi bahan ejekan kini dianggap sebagai sesuatu yang istimewa, malah hadiah daripada arwah neneknya yang bernama Khadijah Mualim Raja.

Sepanjang hidupnya, Senyum yang pernah bekerja sebagai juruhebah selama 27 tahun di dua lapangan terbang juga berhadapan pelbagai peristiwa lucu kerana keunikan namanya itu.

Ibu kepada 10 anak itu berkata, menurut cerita arwah ibunya, Rajiah Md Sop, namanya diberikan neneknya yang ketika itu bekerja sebagai bidan, namun mendakwa tidak diceritakan sebab dia diberikan nama unik itu.

"Ibu tidak cerita sebab saya diberikan nama Senyum, namun saya percaya ia mempunyai kaitan dengan perwatakan ketika masih bayi. Apa yang membuatkan saya pelik, semua nama enam kakak saya menggunakan nama biasa bagi orang Melayu.

"Saya seorang saja yang diberikan nama begitu. Lebih unik, semua nama dalam kad pengenalan adik-beradik saya berbinti nama Bujang, hanya saya seorang berbintikan Ujang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Manggis, Jalan Pantai kepada Harian Metro.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata dia banyak mengalami pengalaman lucu apabila namanya dikaitkan dalam sesuatu situasi terutama apabila berjumpa dengan orang yang belum mengenalinya.

"Ketika kecil saya selalu diusik rakan sebaya dan pernah sekali saya tidak tahan dan pulang ke rumah dalam keadaan menangis serta meminta bapa menukar nama. Namun, saya anggap itu sebagai kenangan manis.

"Biasanya ketika berurusan di mana-mana kaunter, pelayan seakan tidak percaya nama saya Senyum, jadi saya terus mengeluarkan kad pengenalan dan menunjukkan kepada mereka.

"Ada juga rakan sekerja yang bergurau dengan nama saya itu dan saya menganggapnya hanya bahan usikan. Saya tidak terasa hati kerana perbuatan senyum adalah sesuatu yang positif malah digalakkan dalam agama.

"Ada satu ketika seorang pelanggan di lapangan terbang ternampak tanda nama saya pada baju dan ketika itu saya juga memakai lencana ikon senyum. Pelanggan itu kelihatan pelik sebelum saya menjelaskan bahawa Senyum adalah nama saya," kata nenek kepada 26 cucu itu seperti dinukil Harian Metro.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan