Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nama Muhammad Adib diabadikan di tugu peringatan bomba

Nama Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim semalam (21 Dis) diabadikan pada Tugu Peringatan Fallen Heroes di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu.

Anggaran Waktu Membaca:
Nama Muhammad Adib diabadikan di tugu peringatan bomba

Nama Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diabadikan pada Tugu Peringatan Fallen Heroes. (Gambar: Penyelamat Masyarakat/Facebook)

Diterbitkan : 22 Dec 2018 07:58AM Dikemas Kini : 22 Dec 2018 08:03AM

KUALA LUMPUR: Nama Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim semalam (21 Dis) diabadikan pada Tugu Peringatan Fallen Heroes di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu.

Allahyarham Muhammad Adib, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada kira-kira 9.41 malam pada Isnin lalu (17 Dis) selepas mengalami kecederaan kritikal, disyaki akibat dipukul dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November lalu.

Jenazah Allahyarham Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah di Kedah pada sekitar 1.45 tengah hari, Selasa lalu (18 Dis).

Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Md Ali Ismail, berkata nama Allahyarham Muhammad Adib diletakkan di tugu berkenaan dalam satu majlis Apresiasi Wira Merah sebagai memperingati segala jasa dan pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Beliau berkata Allahyarham Muhammad Adib merupakan simbol pengorbanan dan perjuangan setiap anggota bomba.

"Muhammad Adib bagaikan wira kepada kami yang berjuang hingga ke akhir nyawa. Oleh itu, nama Muhammad Adib sentiasa terpahat di hati semua rakyat Malaysia terutama kami yang menyarung uniform yang sama dengan Allahyarham.

Tugu peringatan ini juga merupakan tanda ingatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta akademi bomba bahawa jasa mereka yang terkorban sentiasa dikenang selamanya,” kata Encik Md Ali pada Jumaat (21 Dis).

Encik Md Ali berkata, tugu peringatan itu adalah cetusan idea Ketua Pengarah JBPM Muhamad Hamdan Wahid dan ia dibina oleh pelatih Kursus Diploma Sains dan Kebombaan (KDSK) Siri 1.

"Terdapat 23 anggota bomba terkorban ketika bertugas di seluruh negara yang direkodkan sejak 1993 dan nama mereka diabadikan di tugu peringatan ini.

Allahyarham Muhammad Adib adalah yang ke-24 selepas enam anggota terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Puchong pada 3 Okt lalu," katanya.

Encik Md Ali berkata tugu peringatan itu juga dibuka untuk kunjungan orang ramai sebagai tanda ingatan dan menghargai pengorbanan anggota bomba terbabit.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan