Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nama minuman di Bazar Ramadan Terengganu cuit hati pelanggan

Anggaran Waktu Membaca:
BESUT: Deretan balang air yang diberikan nama 'janda saya', 'duda saya', 'abang sayang' dengan pelbagai perisa menarik perhatian orang ramai yang mengunjungi Bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja di Besut, lapor Harian Metro.

Pelbagai aksi serta gelagat mencuit hati pelanggan yang mahu memesan air tersebut di sakat pasangan masing-masing hingga mencetuskan suasana ceria di bazar Ramadan itu.

Peniaga air, Siti Nor Khadijah Mohamad, 37 tahun berkata, idea untuk melabelkan pelbagai perisa air minuman yang dihasilkannya dengan nama itu timbul secara spontan sejak enam tahun lalu.

"Pada mulanya saya ingin mencari kelainan dengan berbuat demikian berbanding sekadar meletakkan nama air mengikut perisa.

"Namun lama-kelamaan menjadi tarikan kepada pelanggan untuk merasakan sendiri air ini seterusnya ada antara mereka mula menjadi pelanggan tetap," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja.

Cik Khadijah berkata, beliau menjual air balang itu pada bulan Ramadan sahaja untuk menambah pendapatan sampingan serta persiapan menjelang Syawal.

"Pada bulan lain, saya bertugas menguruskan kantin sebuah sekolah serta mengendalikan sebuah kedai makan di Jeti Kuala Besut.

"Saya juga turut mengambil tempahan membuat air balang ini untuk pelbagai jenis majlis jamuan termasuk majlis perkahwinan," katanya.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata, setiap hari sepanjang bulan Ramadan beliau akan menghasilkan antara sembilan hingga 10 balang air untuk dijual di bazar itu.

"Air yang dijual antaranya air janda manis (asam boi), janda saya (teh susu), duda saya (strawberi susu), duda awak (kopi susu).

"Selain itu turut dijual air 'I Miss U' ( blue lemon), I Love U' (mix green), Bunga cinta (koktail), madu awak (milo susu) serta abang sayang (aroikah).

"Harga bagi setiap satu gelas berharga RM3 (S$0.90) manakala bagi setiap plastik besar RM5 (S$1.51) sesuai untuk dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa bersama keluarga," katanya kepada Harian Metro.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan