Skip to main content

Dunia

Nama menantu Muhyiddin Yassin & peguam diserah kepada Interpol, kata Ketua Polis Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Nama menantu Muhyiddin Yassin & peguam diserah kepada Interpol, kata Ketua Polis Malaysia

Menantu mantan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan. (Gambar fail: Bernama)

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Malaysia, Razarudin Husain mengesahkan permohonan notis merah ke atas menantu mantan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan dan peguamnya sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

Beliau memberitahu, tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah itu dilakukan selepas dimohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu itu.

"Notis merah dimohon SPRM ke atas menantu Muhyiddin dan peguamnya, segala dokumen dan soalan-soalan yang perlu dijawab oleh pihak SPRM untuk diisi dalam borang tertentu telah selesai dibuat.

"Kita terima borang tersebut daripada SPRM kira-kira pukul 3.00 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa (3 Okt).

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, draf pertuduhan antara dokumen yang diperlukan Interpol sebelum notis merah dikeluarkan kepada Muhammad Adlan, 48 tahun, serta peguam, Mansoor Saat, 69 tahun.

Kedua-dua individu tersebut dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian, dipetik daripada Astro Awani.

Kedua-dua mereka dipercayai melarikan diri dari negara tersebut pada Mei lalu.

Menurut laporan Astro Awani, Encik Muhammad Adlan dalam satu kenyataan melalui peguam, Encik Baljit Singh Sidhu bagaimanapun menafikan beliau lari daripada pihak berkuasa dan menyatakan akan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.

Pada 23 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan Encik Muhammad Adlan Berhan, dan seorang lagi lelaki iaitu Mansoor Saat, 69 tahun, masih gagal tampil membantu siasatan SPRM selepas menghilangkan diri sejak Mei lalu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita