Nak ke luar negara? Berikut syarat kemasukan beberapa destinasi percutian kegemaran anda

Gambar: Pexels
SINGAPURA: Mulai Jumaat (1 April) Singapura menarik balik semua aturan Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) sedia ada dan aturan sepihak.
Sebaliknya, ia akan beralih kepada rangka kerja perjalanan vaksinasi dipermudahkan yang baru di mana negara dan wilayah dibahagikan kepada dua kategori - perjalanan am atau kategori terhad.
Di bawah rangka kerja itu, semua pelawat yang lengkap divaksin serta kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, akan dapat memasuki Singapura dengan hanya mengambil ujian COVID-19 sebelum berangkat mulai 11.59 malam pada 31 Mac.
Mereka juga tidak perlu lagi memohon kelulusan kemasukan atau menaiki pengangkutan VTL yang ditetapkan untuk memasuki Singapura tanpa kuarantin.
Meskipun melancong ke luar negara kini lebih mudah, ini tidak bermakna kita boleh ke mana-mana negara sesuka hati tanpa sekatan.
Mediacorp meninjau pelbagai destinasi pelancongan yang sering dikunjungi penduduk Singapura dan syarat-syarat kemasukan ke negara tersebut.
THAILAND
Pelawat boleh pergi ke Thailand dengan memohon kemasukan melalui sistem "Thailand Pass" secara online.
Setakat Jumaat (1 April), pelawat tidak perlu lagi menjalani ujian COVID-19 sebelum berangkat. Pelawat yang lengkap divaksin boleh masuk melalui skim pengecualian kuarantin 'Test & Go'.
Mereka buat tempahan dan tinggal di penginapan yang ditetapkan kerajaan sehingga mereka diuji negatif menggunakan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) semasa ketibaan.
Mereka kemudian bebas bergerak ke mana-mana bahagian Thailand tetapi perlu menjalani ujian antigen kendiri pada hari kelima.
Selain itu, Thailand juga menawarkan pilihan "Sandbox" di mana pelawat yang lengkap divaksin boleh pergi ke destinasi Sandbox seperti Phuket dan Krabi dan duduk di situ pada lima hari pertama ke negara tersebut.
Selepas disahkan negatif pada ujian PCR, pelawat boleh menikmati aktiviti di dalam kawasan Sandbox untuk lima hari seterusnya tetapi harus pulang ke tempat penginapan yang ditetapkan setiap malam.
Selepas tempoh tersebut, pelawat bebas bergerak ke mana-mana wilayah Thailand namun harus mengambil ujian ART pada hari kelima.
Walaupun Thailand membenarkan mereka yang tidak divaksin atau tidak lengkap divaksin, memasuki negara itu, pelawat berkenaan harus menjalani kuarantin lima hari.
JEPUN
Anda ingin melihat bunga sakura di Jepun pada musim bunga ini?
Malangnya Jepun masih menutup pintu negara itu kepada pelancong :(
UNITED KINGDOM
United Kingdom adalah salah satu negara paling mudah untuk dikunjungi, tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Pelawat tidak perlu menjalani ujian sebelum berlepas.
Tiada ujian juga semasa ketibaan.
Anda juga tidak perlu menjalani kuarantin.
Bahkan, anda bebas bergerak ke mana-mana tempat di negara itu.
NEW ZEALAND
New Zealand akan membuka sempadan negara itu secara bertahap-tahap tahun ini.
Awal bulan ini, pemerintah mengumumkan mulai 2 Mei, New Zealand akan membuka semula sempadannya kepada pelawat antarabangsa yang sudah divaksin dari negara dan wilayah yang mempunyai aturan pelepasan visa dan pelawat yang sudah pun mempunyai visa pelawat yang sah.
Ini termasuk negara seperti Singapura, Malaysia, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Taiwan.
Pelawat perlu melakukan ujian sebelum berlepas untuk masuk ke New Zealand.
Pelawat yang lengkap divaksin dari senarai negara tersebut juga boleh masuk tanpa perlu menjalani kuarantin dan harus menjalani ujian kendiri semasa ketibaan.
KOREA SELATAN
Korea Selatan terus membuka pintunya kepada pelawat dari Singapura dan mulai Jumaat, kepada semua negara.
Pelawat yang lengkap divaksin tidak perlu menjalani tempoh kuarantin apabila tiba di negara itu.
Namun, ujian sebelum berlepas diperlukan dan pelawat harus mendaftarkan sejarah vaksinasi mereka di laman web Q-Code Korea Selatan.
MALAYSIA
Untuk pertama kalinya dalam masa dua tahun, penduduk yang lengkap divaksin di Singapura dan Malaysia dibenarkan melintas sempadan menggunakan kenderaan privet pada Jumaat.
Pelawat yang ingin masuk ke Malaysia harus memuat turun aplikasi MySejahtera ke telefon bimbit mereka.
Pelawat juga harus lengkap divaksin menggunakan vaksin COVID-19 yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia.
AUSTRALIA
Buat masa ini, pelawat dari Singapura dibenarkan masuk ke Australia.
Namun sebelum anda menempah tiket penerbangan, pastikan anda menyemak syarat COVID-19 di negeri atau wilayah yang dituju.
Setiap negeri atau wilayah ada peraturan berbeza untuk pelawat. Ini termasuk mengambil ujian COVID-19 semasa ketibaan.
Kanak-kanak di bawah 12 tahun dianggap sudah divaksin sepenuhnya.
Sebelum memasuki Australia, keputusan ujian negatif COVID-19 diperlukan. Pelawat juga harus melengkapkan Perisytiharan Penumpang Digital dan menyerahkan borang itu 72 jam sebelum masuk ke negara tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.