Skip to main content

Dunia

"Nak ayah", ungkapan setiap kali lihat ahli bomba lengkap beruniform

“Nak ayah”, itu ungkapan Muhamad Meqa Al Asyraf, setahun 10 bulan, ketika melihat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lengkap beruniform di Dewan Sutera, Ibu Pejabat JBPM, pada Rabu (24 Okt) bersempena Majlis Penghargaan Wira Merah.

Anggaran Waktu Membaca:
"Nak ayah", ungkapan setiap kali lihat ahli bomba lengkap beruniform

6 penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat M'sia maut dalam satu misi mencari dan menyelamat (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Oct 2018 09:41AM Dikemas Kini : 25 Oct 2018 09:43AM

PUTRAJAYA: “Nak ayah”, itu ungkapan Muhamad Meqa Al Asyraf, setahun 10 bulan, ketika melihat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lengkap beruniform di Dewan Sutera, Ibu Pejabat JBPM, pada Rabu (24 Okt) bersempena Majlis Penghargaan Wira Merah.

Muhamad Meqa, anak bongsu anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Allahyarham Mohd Fatah Hashim yang terkorban ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada 3 Oktober lepas.

Ibu bayi itu, Cik Noor Nadia Kamaludin, 29 tahun, berkata anak bongsu itu sering mencari-cari ayahnya khususnya apabila melihat anggota bomba yang lengkap beruniform.

“Sejak anggota bomba mengambil kami dari rumah sehingga ke sini, dia (Muhamad Meqa) asyik sebut nak ayah.. nak ayah. Mungkin ini disebabkan dia selalu tengok ayahnya memakai uniform yang sama,” katanya kepada para wartawan ketika ditemui selepas majlis itu.

Pada majlis itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Cik Zuraida Kamaruddin menyampaikan sumbangan daripada Tabung Wira Merah kepada enam pewaris anggota PPDA yang terkorban semasa menjalankan tugas SAR itu.

Selain itu, turut diumumkan kesemua enam anggota PPDA yang terkorban juga dinaikkan pangkat secara anumerta dari Gred KB19 ke KB22.

Cik Noor Nadia berkata Muhamad Meqa dan kakaknya Nur Medina Aisyah, 3 tahun, sangat rapat dengan allahyarham dan kedua-dua anak itu masih sekali-sekala mencari-cari ayah mereka.

Dalam kejadian 3 Oktober lepas ,enam anggota PPDA lemas ketika operasi mencari dan menyelamat Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17 tahun, yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, yang kemudiannya ditemui mati lemas. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita