Najib, UMNO peroleh kembali aset disita bernilai RM114 juta
Sejumlah aset bernilai RM114 juta (S$36.4 juta) yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residences pada 17 Mei 2018, dipulangkan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan UMNO.
(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Sejumlah aset bernilai RM114 juta (S$36.4 juta) yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residences pada 17 Mei 2018, dipulangkan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan UMNO.
Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memberitahu Astro AWANI, berdasarkan semakan dengan pegawai penyiasat, aset terbabit diserahkan pada 17 Jun lalu.
Tambahnya lagi, pemulangan itu dilakukan kerana pihak pendakwaan tidak memohon untuk memfailkan rayuan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman pada 20 Mei lalu menolak permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak aset terbabit.
“(Aset) telah diserahkan kepada DSN melalui wakil kerana pihak pemohon (pendakwaan) tidak memfailkan rayuan,” katanya lagi.
Pada Mei, Muhammad Jamil menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residences yang terletak di ibu negara pada 17 Mei 2018.
Ketika menyampaikan keputusannya, Muhammad Jamil berkata, pendakwa raya gagal membuktikan wang RM114,164,393.44 (S$36,465,465) yang disita itu terbabit dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selain itu, hakim juga memutuskan pendakwa raya gagal membuktikan wang berkenaan wujud hasil aktiviti pengubahan wang haram.
Untuk rekod, pendakwaan pada 2019 memfailkan permohonan pelucutan terhadap OBYU Holdings untuk melucut hak barangan.
Ia merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.