Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib tidak pernah keluarkan arahan jangan patuh arahan Jho Low, kata saksi

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini (15 Nov) diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak berkata atau melakukan apa-apa untuk memisahkan dirinya daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib tidak pernah keluarkan arahan jangan patuh arahan Jho Low, kata saksi

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 15 Nov 2021 10:05PM Dikemas Kini : 15 Nov 2021 10:06PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini (15 Nov) diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak berkata atau melakukan apa-apa untuk memisahkan dirinya daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Memberi keterangan semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman berkata Najib tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk tidak mematuhi arahan yang diberikan oleh Jho Low dalam semua perkara berkaitan 1MDB.

Sri Ram: Ketika anda bermesyuarat di rumah tertuduh dan Jho Low hadir, apa yang anda perhatikan mengenai hubungan antara Jho Low dengan tertuduh?

Mohd Hazem: Mereka teramat rapat.

Sri Ram kemudian menyoal saksi pendakwaan ke-10 berusia 49 tahun itu mengapa beliau mematuhi arahan Jho Low dan Mohd Hazem menjawab semua arahan Jho Low “datang daripada Najib sendiri.”

Mohd Hazem juga berkata peranan Jho Low dalam 1MDB disembunyikan semasa pertemuan dengan firma perakaunan KPMG Malaysia untuk membincangkan audit syarikat itu kerana Jho Low sendiri sudah mengarahkan agar namanya tidak didedahkan. 

Ketika ditanya lanjut mengenai penyingkiran KPMG Malaysia sebagai juruaudit pembangunan strategik syarikat itu, Mohd Hazem berkata firma tersebut enggan menandatangani laporan audit bagi tahun kewangan 2013 1MDB.

Saksi itu juga berkata beliau menerima tekanan termasuk daripada Najib sendiri untuk memastikan bahawa laporan audit tersebut ditandatangani.

“Saya telah dipanggil secara langsung oleh beliau (Najib) yang meminta saya mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu (menandatangani laporan audit) dan satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah menggantikan KPMG dengan juruaudit baru.

“Ketika itu, saya berada dalam kedudukan yang tidak membolehkan saya untuk tidak mematuhi Datuk Seri Najib kerana beliau adalah Perdana Menteri,” katanya.

KPMG dilantik sebagai juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012 namun dipecat pada 2013 selepas enggan menandatangani akaun bagi tahun kewangan 2013 1MDB.

Mohd Hazem juga berkata beliau tidak menerima satu sen pun daripada wang yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB atau diberikan sebarang pampasan kewangan oleh Jho Low atas dakwaan bersubahat untuk menggelapkan wang daripada syarikat itu.

Najib, 68 tahun, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$746 juta) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan