Skip to main content

Dunia

Najib tidak buat aduan atau pulangkan RM42 juta yang tersilap pindah ke dalam akaunnya

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, tidak mengembalikan dana RM42 juta (S$13.5 juta) milik SRC International Sdn Bhd yang dikreditkan secara salah ke akaunnya tetapi sebaliknya telah menggunakannya, kata Mahkamah Rayuan hari ini (8 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Najib tidak buat aduan atau pulangkan RM42 juta yang tersilap pindah ke dalam akaunnya

Gambar fail mantan perdana menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 08 Dec 2021 08:18PM Dikemas Kini : 08 Dec 2021 08:19PM

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, tidak mengembalikan dana RM42 juta (S$13.5 juta) milik SRC International Sdn Bhd yang dikreditkan secara salah ke akaunnya tetapi sebaliknya telah menggunakannya, kata Mahkamah Rayuan hari ini (8 Dis).

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil berkata perkara lazim bagi mana-mana pemegang akaun yang tersilap atau tidak sengaja menerima dana ke dalam akaunnya adalah untuk memulangkannya dan membetulkan kesilapan itu tetapi Najib tidak melakukan sedemikian apabila RM42 juta (S$13.5 juta)tersebut dipindahkan ke akaunnya. 

Dalam penghakiman ringkas setebal 54 muka surat itu, hakim berkata Najib tidak pernah membuat aduan dengan pihak bank apabila dana itu dipindahkan secara salah ke dalam akaunnya tetapi beliau agak berpuas hati apabila menerimanya dan menggunakan dana itu sesuka hatinya.

“Tidak pernah ditunjukkan penggunaan dana itu ada kaitan dengan SRC International atau perniagaannya. Hakim perbicaraan (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) menganggap pemindahan dana itu ke dalam akaunnya mesti dilakukan dengan pengetahuan perayu kerana jika tidak, beliau tidak akan membelanjakan RM42 juta (S$13.5 juta) tersebut.

“Oleh itu, keseluruhan keterangan mengukuhkan kesimpulan hakim bahawa perayu pasti mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta (S$13.5 juta)yang dipindahkan ke dalam akaunnya,” kata hakim Abdul Karim.

Beliau menambah mahkamah juga bersetuju dengan penemuan hakim perbicaraan bahawa bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan jelas menunjukkan pergerakan RM27 juta (S$8.7 juta), RM5 juta (S$1.6 juta) dan RM10 juta (S$3.2 juta) daripada akaun bank SRC adalah tindakan penyalahgunaan yang tidak jujur,” katanya.

Hakim Abdul Karim juga berkata RM42 juta (S$13.5 juta) itu dimasukkan ke dalam akaun bank Najib dan tidak pernah dialihkan ke mana-mana akaun lain serta digunakan oleh perayu (Najib).

Sebaik sahaja dana berkenaan diterima ke dalam akaun bank perayu, beliau menggunakan dana tersebut dengan mengeluarkan beberapa cek.

“Dalam keadaan ini, perayu sudah mengetahui dana yang dikreditkan ke dalam akaun banknya dan mengikut undang-undang, beliau bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawab terhadap aktiviti dalam akaunnya,” kata hakim.

Hakim juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa semua elemen penting mengenai penyelewengan harta yang diamanahkan oleh perayu telah digunakan dengan jelas.

Beliau berkata keterangan jelas menunjukkan perayu telah menyelewengkan RM42 juta (S$13.5 juta), subjek tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan memindahkan untuk kegunaan beliau sendiri serta telah menyeleweng secara tidak jujur.

Hakim Abdul Karim berkata walaupun perayu berpendapat bahawa dana itu digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR), hakikatnya, dana tersebut telah digunakan untuk kepentingan peribadinya, secara langsung dan tidak langsung. Dalam beberapa kes, (ia digunakan) untuk tujuan politik yang berkaitan dan dikira untuk memajukan kerjaya politik perayu,” ungkapnya.

Hakim Abdul Karim berkata mahkamah juga bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Najib menguruskan hal ehwal SRC International dan oleh sebab itu, beliau telah diamanahkan untuk menjaga dan melindungi aset serta harta syarikat.

“Ini terbukti selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan atas kedudukan itu, bekas perdana menteri itu telah mengeluarkan arahan kepada pemegang saham yang perlu dipatuhi oleh Lembaga Pengarah SRC.

“Peranan perayu itu secara rasminya berkuat kuasa setelah beliau dilantik sebagai Penasihat Emeritus syarikat dengan meluluskan pindaan terhadap Tataurusan Persatuan yang membolehkan jawatan itu diwujudkan.

"Pelantikan ini bagi membolehkan beliau mengarahkan Lembaga Pengarah SRC untuk bertindak mengikut arahannya.

"Atas dasar itu, pelbagai peranan perayu iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus, jelas menunjukkan beliau telah mengarah dan mengawal minda SRC,” katanya.

DANA ARAB SAUDI

Berhubung derma Arab Saudi, hakim berkata keterangan jelas menunjukkan bahawa dana itu berasal daripada SRC International dan berakhir di dalam akaun peribadi Najib.

“Sekiranya ia adalah derma peribadi daripada keluarga Diraja Arab Saudi kepada perayu, maka tiada alasan dana itu perlu dimasukkan ke dalam akaun SRC. SRC adalah syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki oleh MOF Inc,” kata Hakim Abdul Karim.

Berkenaan pertuduhan pengubahan wang haram, hakim berkata mahkamah mendapati dana RM27 juta (S$8.72 juta), RM5 juta (S$1.62 juta), dan RM10 juta (S$3.23 juta) yang diterima perayu ke dalam akaun bank peribadinya adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang. Dengan itu, ia suatu elemen kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram).

Beliau menambah panel hakim juga sependapat dengan Hakim Mahkamah Tinggi mengenai hujah Najib bahawa beliau mempunyai alasan yang munasabah untuk tidak mengesyaki sebarang perkara pelik mengenai kemasukan RM42 juta (S$13.57 juta)ke dalam akaunnya, adalah ternyata tidak benar dan meleset.

Hakim seterusnya berkata Najib sengaja menutup matanya dan memilih untuk tidak terlalu memikirkan asal usul dana itu, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Pada masa sama, Najib membelanjakan wang berkenaan untuk tujuan peribadi dan manfaat diri sendiri.

Justeru, Mahkamah menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan penjara 10 tahun ke atas setiap tiga kes tuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram.

Hakim Abdul Karim berkata panel hakim berpendapat bahawa kedua-dua hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$67 juta) bagi kesalahan menyalahgunakan kedudukan, yang dikenakan hakim Mahkamah Tinggi ,adalah tidak keterlaluan.

“Tempoh hukuman penjara dan denda yang dikenakan didapati memadai dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” tambah hakim.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita