Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib terima AS$30 juta dari syarikat Jho Low pada 2012

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis daripada Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini (19 Sep), bahawa sebuah akaun peribadi milik Najib Tun Razak menerima kemasukan AS$30 juta (S$41 juta) daripada sebuah syarikat tersedia  Blackstone Asia Real Estate Partners.

Syarikat itu didakwa ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Adam Ariff Mohd Roslan, 29 tahun, berkata pada 30 Oktober 2012, sejumlah AS$5 juta (S$6.8 juta) dibayar dan AS$25 juta (S$34 juta) lagi dibayar pada 19 November pada tahun yang sama.

“Rekod Standard Chartered Bank untuk Blackstone Asia Real Estate Partners mengesahkan akaun yang menerima kedua-dua pindahan itu ialah akaun bernombor  ‘2112022009694’  di bawah nama ‘AmPrivate Banking – MR’ dengan AmIslamic.

Semakan ke atas rekod dan penyata bank bertarikh 31 Oktober 2012 dan 20 November 2012 untuk akaun bernombor  2112022009694  di bawah nama  ’AmPrivate Banking – MR dan/atau Mohd Najib Abd Razak’ seperti diberikan AmIslamic sepadan dengan pindahan itu,” kata Encik Adam Ariff.

Saksi ke-47 pendakwaan itu berkata demikian ketika mengesahkan laporan jejak kewangan semasa perbicaraan kes Encik Najib melibatkan pertuduhan menyelewengkan dana RM2.3 bilion (S$667 juta) daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB)  

Dilaporkan Jho Low menubuhkan Blackstone Asia Real Estate Partners, sebuah syarikat tersedia dengan nama yang sama dengan firma ekuiti hartanah persendirian Blackstone Real Estate.

Low didakwa menggunakan satu konvensyen penamaan dengan sengaja untuk syarikat tersedia luar pesisir yang ditubuhkannya bagi menyerupai syarikat yang sudah matang dalam konspirasinya mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.  

Terdahulu, Encik Adam Ariff mengesahkan RM60.6 juta (S$17.6 juta) yang diterima tertuduh dalam akaun bank peribadinya pada Februari dan Jun 2011 adalah daripada Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN), yang diterbitkan pada 2009 oleh syarikat sebelum 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang dinamakan semula sebagai 1MDB pada 25 September 2009. 

Pada hari pertama perbicaraan 28 Ogos 2019, pendakwaan berkata ia akan mendedahkan bahawa dana 1MDB dipindahkan dalam pelbagai urus niaga kepada akaun Encik Najib, iaitu AS$20 juta (S$27 juta) atau lebih RM60 juta (S$17.4 juta) dalam fasa pertama dan AS$30 juta (S$41 juta) atau lebih RM90 juta (S$26.1 juta) dalam fasa kedua.

Pendakwaan juga akan menunjukkan AS$681 juta (S$928 juta) atau lebih RM2 bilion (S$) dipindahkan dalam fasa ketiga dan transaksi dalam paun sterling British yang bersamaan jumlah digabungkan lebih RM49 juta (S$14.2 juta) dalam fasa keempat.

Encik Najib,70 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$667 juta) milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah akan bersambung esok (20 Sep).
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan