Skip to main content

Dunia

Najib tarik balik rayuan dapatkan dokumen berkaitan Goldman Sach, keluarga Zeti Akhtar Aziz

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menarik balik dua rayuannya bagi mendapatkan dokumen perbankan berkaitan firma pelaburan Goldman Sachs dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Dr Zeti Akhtar Aziz untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Peguam Encik Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada Jumaat (23 Jun) bahawa anak guamnya menarik semula kedua-dua rayuannya tanpa prejudis untuk dihujahkan semula di semua peringkat mahkamah.

“Kami (pihak pembelaan dan pendakwaan) bersetuju untuk syarat berikut. Kami akan menarik kedua-dua rayuan substantif tanpa prejudis supaya kami boleh berhujah di semua peringkat mahkamah termasuk di Mahkamah Tinggi. Mahkamah Tinggi ada menyatakan kami boleh berhujah semula mengenai perkara ini apabila saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan,” katanya.

Beliau juga memberitahu mahkamah pihak pendakwaan tidak akan membantah hak Encik Najib untuk memohon semula dokumen itu apabila saksi berkaitan memberi keterangan dalam perbicaraan itu di Mahkamah Tinggi.

Muhammad Shafee kemudian memohon mahkamah untuk membatalkan rayuan itu berdasarkan dua syarat yang dipersetujui oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar mengesahkan perkara itu kepada mahkamah.

Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim yang mengetuai panel itu kemudian membatalkan rayuan itu tanpa mendengar merit rayuan tersebut.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama Hakim Abang Iskandar ialah Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Mohd Yusof.

Encik Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai 2021 yang menolak dua permohonannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDBnya mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Cik Zeti, atas dakwaan keluarganya didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Rayuan beliau juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan pada 24 Mac 2021 untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Cik Zeti dalam kes 1MDBnya.

Najib juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April 2021 untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Perbicaraan kes 1MDB akan diteruskan pada 7 Julai di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita