Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib tarik balik permohonan semak penangguhan perbicaraan kes SRC

Bekas Perdana Menteri Najib Razak sudah menarik balik permohonan semakannya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengenepikan perintah untuk menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib tarik balik permohonan semak penangguhan perbicaraan kes SRC

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 05 Aug 2020 09:04PM Dikemas Kini : 05 Aug 2020 09:07PM

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak sudah menarik balik permohonan semakannya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengenepikan perintah untuk menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.

Peguam Najib, Nur Syahirah Hanapiah dalam satu mesej WhatsApp kepada media berkata pendengaran bagi permohonan itu, yang sudah ditetapkan esok, sudah dikeluarkan memandangkan pemohon (Najib) sudah menarik balik notis usul beliau.

"Beliau berhak membangkitkan isu itu ketika rayuan substantif kelak," katanya sambil menambah bahawa pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap penarikan balik permohonan itu dan untuk Najib membangkitkan isu tersebut semasa rayuan substantif.

Cik Nur Syahirah berkata notis penghentian semakan itu sudah difailkan pada 3 Ogos lalu.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan sudah mengeluarkan surat hari ini (5 Ogos) untuk memaklumkan bahawa kedua-dua pihak tidak perlu hadir esok.

Najib, 67, memfailkan permohonan itu untuk menyemak keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada 27 Mac 2019 yang mengenepikan perintah penangguhan yang diberikan kepadanya oleh Mahkamah Rayuan.

Menyusuli keputusan itu, Mahkamah Tinggi sudah meneruskan pendengaran perbicaraan kes SRC.

Pada 11 Feb 2019, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu rayuan beliau berhubung isu interlokutari selesai.

Pada 28 Julai lalu, Ahli Parlimen Pekan itu dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta (S$69 juta) atau dihukum penjara lima tahun selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta (S$14 juta) dana SRC International oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan berkaitan penyalahgunaan kedudukan dan 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan pecah amanah jenayah serta pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengarahkan beliau menjalani kesemua hukuman penjara secara serentak. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan