Skip to main content

Dunia

Najib selesai bayar wang ikat jamin RM3.5 juta

Mantan Perdana Menteri Najib Razak yang menghadapi 25 tuduhan jenayah sudah selesai membayar wang jaminan bernilai RM3.5 juta (S$1.2 juta) yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib selesai bayar wang ikat jamin RM3.5 juta

Mantan Perdana Menteri Najib Razak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/ AFP)

Diterbitkan : 28 Sep 2018 11:54AM Dikemas Kini : 28 Sep 2018 11:58AM

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Najib Razak yang menghadapi 25 tuduhan jenayah sudah selesai membayar wang jaminan bernilai RM3.5 juta (S$1.2 juta) yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Hasil semakan di kaunter jamin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 9.00 pagi, mendapati Encik Najib, 65 tahun, sudah selesai membayar wang jaminan itu.

Pada 20 September lalu, Encik Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat tuduhan rasuah bernilai RM2.282 bilion (S$754 juta) melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Encik Najib dibebaskan dengan wang jamin RM3.5 juta (S$1.2 juta) dengan dua penjamin sementara kesnya selesai dan menetapkan 16 November untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Encik Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Encik Najib untuk membayar jaminan itu secara ansuran iaitu RM1 juta (S$330,000) dibayar pada 21 September dan RM500,000 (S$165,000) setiap hari sebelum atau pada 28 September.

Pada 21 September lalu, Encik Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan sudah membayar jaminan RM1 juta (S$330,000) iaitu sebahagian daripada jumlah jaminan RM3.5 juta (S$1.2 juta) itu.

Bayaran jamin itu dibuat anak lelaki Encik Najib iaitu Encik Mohammed Nizar dan seorang individu bernama Encik Mohd Shahrir Arifin selaku penjamin.

Encik Najib pada 4 Julai lepas didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan dana bernilai RM42 juta (S$14 juta) milik SRC International Sdn Bhd dan pada 8 Ogos lepas, dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta (S$330,000) dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Oktober.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita