Skip to main content

Dunia

Najib sekali lagi fail permohonan tangguh bicara kes seleweng dana SRC

Bekas Perdana Menteri Najib Razak pada Isnin (1 Apr) memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkannya menangguhkan lagi perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib sekali lagi fail permohonan tangguh bicara kes seleweng dana SRC

Encik Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 02 Apr 2019 03:00PM Dikemas Kini : 02 Apr 2019 03:04PM

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Najib Razak pada Isnin (1 Apr) memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkannya menangguhkan lagi perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan peguam Encik Harvinderjit Singh yang mewakili Encik Najib ketika sebutan semula kes rasuah membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion (S$755 juta), di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah semalam (1 Apr).

Encik Harvinderjit memberitahu mahkamah permohonan itu difailkan pagi tadi di Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun belum ada tarikh ditetapkan untuk pengurusan kes itu.

Pada 27 Mc lepas, panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara Encik Richard Malanjum mengetepikan perintah penangguhan oleh Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan penangguhan difailkan Encik Najib pada 8 Feb lepas.

Awal dari itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Encik Gopal Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya mendapat surat balas daripada Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim berhubung permohonan mereka untuk melapangkan perbicaraan kes 1MDB bagi memberi laluan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

"Pihak pendakwaan sudah menulis surat kepada Hakim Besar Malaya pada 29 Mac lepas memohon agar perbicaraan kes rasuah 1MDB dilapangkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd.

“Hari ini pihak kami sudah menerima surat daripada Hakim Besar Malaya namun seperti yang dimaklumkan dalam surat, keputusan untuk menangguhkan kes itu terletak pada budi bicara mahkamah," katanya.

Sehubungan itu, hakim memutuskan perbicaraan bagi kes rasuah membabitkan dana 1MDB dimulakan pada minggu pertama bulan Mei atau mengikut tarikh yang telah ditetapkan, bergantung kepada kelapangan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Perbicaraan kes rasuah melibatkan dana 1MDB sebelum ini sudah ditetapkan dari 15 April hingga 3 Mei.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 April untuk pengurusan kes bagi mendapatkan pengesahan sama ada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd akan dijalankan pada 15 April ini atau sebaliknya.

Encik Najib, 66 tahun, menghadapi empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram menurut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion (S$755 juta).

Anggota Parlimen Pekan, Pahang itu didakwa melakukan kesemua kesalahan di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita