Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak tidak dibenarkan hadir prosiding kes saman 1MDB

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis (10 Nov) menolak permohonan Najib Razak untuk menghadiri prosiding pendengaran kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya dan beberapa individu lagi.

Pendengaran itu melibatkan dua permohonan iaitu injunksi mareva, yang diperoleh 1MDB dan satu anak syarikatnya, untuk menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta (S$948 juta). 

Satu lagi permohonan Encik Najib untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited - dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited - yang merupakan plaintif pertama dan kelima, dalam kes saman terhadap Najib dan beberapa individu lagi.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai mewakili 1MDB berkata Hakim Atan Mustaffa Yusoff Ahmad memutuskan demikian selepas mendengar hujahan pihak-pihak berhubung permohonan Encik Najib, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, untuk menghadiri prosiding pendengaran bagi kedua-dua permohonan itu.

“Permohonan tersebut ditolak tanpa sebarang kos. Selain itu, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran bagi kedua-dua permohonan itu yang sepatutnya berlangsung esok (11 Nov),” katanya ketika dihubungi wartawan.

Prosiding pada Khamis (10 Nov) dihadiri peguam Dhanyaa Shreeya Sukumar serta Tommy Lim Ka Hui mewakili 1MDB dan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Alaistair Brandah Norman bagi pihak Najib.

Injunksi mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

Injunksi tersebut juga menghadkan Encik Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 (S$30,072) sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman, namun sekiranya memerlukan lebih daripada jumlah itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan Encik Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified, berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681 juta (S$948 juta), sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak serta sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Encik Najib, Encik Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Cik Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Cik Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Encik Vincent Beng, Encik Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) dinamakan sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Encik Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Encik Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

Saman AS$8 bilion (S$11 bilion) itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion (S$32 bilion) bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International, terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan