Skip to main content

Dunia

Najib Razak tahu akaun banknya digunakan untuk keluarkan cek: Saksi

Anggaran Waktu Membaca:
Najib Razak tahu akaun banknya digunakan untuk keluarkan cek: Saksi
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dilihat meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Disember 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Diterbitkan : 10 Feb 2026 07:23PM Dikemas Kini : 10 Feb 2026 07:24PM
  • Najib Razak didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana didakwa menyalahgunakan akaun AmBank peribadi untuk pengeluaran cek dan dana RM42 juta.
  • Joanna Yu, bekas pengurus perhubungan AmBank, memberi keterangan bahawa Najib sentiasa sedar dan aktif menggunakan akaun tersebut, dengan komunikasi melalui Jho Low.
  • SRC International dan Gandingan Mentari menuntut Najib bertanggungjawab atas dana, mendakwa salah laku serta penyalahgunaan kuasa, dengan perbicaraan bermula sejak 2021.
  • Yu percaya dana yang dimasukkan adalah derma seperti diwakili Jho Low, namun selepas itu tidak pasti, dan perbicaraan akan bersambung pada 11 Februari.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini (10 Feb) diberitahu bahawa Najib Razak pada setiap masa menyedari keadaan akaun peribadi AmBank miliknya dan secara aktif menggunakan akaun berkenaan bagi tujuan untuk mengeluarkan cek.

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 54 tahun, berkata ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, beberapa kali berhubung dengannya menerusi perbualan BlackBerry Messenger (BBM) bagi mendapatkan kepastian sama ada akaun bank Najib berada dalam keadaan terlebih pengeluaran.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam SRC International Sdn Bhd, Kwan Will Sen, dalam saman sivil RM42 juta (S$13.55 juta) yang difailkan SRC bersama anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap mantan perdana menteri itu.

Encik Kwan merujuk kepada satu mesej BBM daripada Jho Low yang berbunyi, "Please check if Ambank acc is overdrawn, boss said he wrote a big cheque," (Sila semak jika akaun AmBank terlebih keluar, bos kata dia ada tulis cek bernilai besar) dan bertanya sama ada perkataan "bos" merujuk kepada defendan.

Yu menjawab beliau percaya demikian.

Kwan: Berdasarkan pemahaman anda, perkataan "bos" merujuk kepada defendan dan sebelum ini anda memberitahu hanya Najib mempunyai kuasa menandatangani sebarang cek. Oleh itu, boleh dibuat inferens bahawa defendan sedar dan bergantung kepada akaun berkenaan bagi tujuan pengeluaran cek?

Yu: "Ya."

Kwan: Mesej-mesej Jho Low kepada anda pada asasnya datang daripada Najib yang bertanya bagi memastikan terdapat dana mencukupi dalam akaunnya.

Yu: "Ya."

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Encik Kwan bahawa Najib pada hakikatnya mengarahkan atau meminta Jho Low menghubunginya bagi memastikan urus niaga kad kredit defendan berjalan lancar.

Apabila dicadangkan bahawa keadaan itu menunjukkan Najib sepenuhnya menyedari urusan akaun terbabit dan membelanjakan perbelanjaan daripadanya, Yu sekali lagi menjawab, "Ya."

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Yu bersetuju bahawa sepanjang tempoh beliau bertindak sebagai pengurus perhubungan bagi akaun Najib dari 2011 hingga 2015, beliau percaya wang yang dimasukkan ke dalam akaun berkenaan adalah dana derma seperti yang diwakili oleh Jho Low.

"Ya, berdasarkan dana yang masuk, saya percaya ia adalah wang derma seperti yang diwakili oleh Jho Low, namun selepas itu saya sendiri tidak pasti; ia hanyalah deposit tunai yang dibuat di kaunter. Selain deposit tunai, kami menerima kiriman wang itu dengan niat baik berdasarkan surat sokongan yang menyatakan dana berkenaan adalah derma," katanya lagi.

Saman sivil yang difailkan pada 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta serta ganti rugi bagi penerimaan yang mengetahui, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam dan penyalahgunaan kuasa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok (11 Feb).
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita