Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak sepatutnya arah CEO 1MDB bekerjasama dengan Kementerian Kewangan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Najib Razak sepatutnya mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Encik Shahrol Azral Ibrahim Halmi supaya bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF), Mahkamah Tinggi diberitahu pada Khamis (24 Nov).

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Encik Mohd Irwan Serigar Abdullah, 63 tahun, berkata Najib, yang memegang pelbagai jawatan termasuk Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi lembaga penasihat 1MDB pada masa itu, sepatutnya boleh mengarahkan Shahrol dari segi menyediakan dokumen berhubung permohonan jaminan kerajaan (GG) kepada pegawai MOF.

Encik Mohd Irwan berulang kali berkata pengurusan 1MDB tidak bekerjasama dalam menyediakan dokumen kepada kementerian dan beliau ada menyebut kepada bekas perdana menteri itu bahawa Encik Shahrol Azral sombong dan sentiasa memberi alasan tetapi Najib tidak berkata apa-apa mengenainya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan bekas Ahli Parlimen Pekan itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion (S$7 juta) daripada 1MDB.

Terdahulu, Encik Mohd Irwan memberi contoh pertemuannya dengan pengurusan 1MDB apabila dana pengurusan kekayaan negara itu mengemukakan surat saranan (LOC) kepada MOF, yang kelihatan seperti GG.

“Mereka mengemukakan LOC yang bersamaan dengan GG. Apabila saya dan pegawai undang-undang saya menelitinya, kami mendapati ia seperti GG, yang perlu dibentangkan kepada Kabinet. Kami memerlukan cadangan terperinci, yang tidak disediakan oleh 1MDB.

“Kami (MOF) memberitahu mereka bahawa kami memerlukan cadangan terperinci tetapi mereka tidak mengendahkan permintaan kami. Mereka berkata mereka sudah memberi taklimat kepada PM ketika itu," kata Encik Mohd Irwan.

Encik Wan Aizuddin kemudian mencadangkan bahawa Najib tidak boleh dipersalahkan atas sikap Shahrol dan pengurusan 1MDB, yang Mohd Irwan menjawab: "Saya tidak pasti betapa berkuasanya CEO 1MDB itu".

Najib, 69 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion (S$7 juta) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Disember.
Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan