Najib Razak mungkin dikenakan lebih banyak tuduhan berkaitan 1MDB
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mungkin dikenakan lebih banyak tuduhan berkaitan siasatan yang masih diteruskan terhadap dana 1MDB.
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mungkin dikenakan lebih banyak tuduhan berkaitan siasatan yang masih diteruskan terhadap dana 1MDB.
Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata beberapa lagi tuduhan yang akan dikenakan itu, bergantung kepada penemuan yang dibuat seperti aset-aset yang dibeli di luar negara menggunakan dana 1MDB.
Encik Azam menambah banyak aset tersebut kini berada di negara-negara asing seperti Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
Dan jika aset-aset itu tidak dapat dipulangkan ke Malaysia, SPRM kata Encik Azam lagi, akan berusaha mendapatkan semula nilainya saja.
Ini termasuk aset-aset bernilai lebih AS$130 juta (S$177 juta) seperti pesawat Bombardier yang dimiliki peniaga Jho Low yang kini diburu pihak berkuasa Malaysia.
Ada juga hasil-hasil seni karya Picasso, Monet dan Van Gogh.
SPRM juga dilaporkan sudah menemui para pegawai Jabatan Keadilan Amerika dan Biro Siasatan Federal (FBI) minggu lalu.
Permohonan juga sudah dibuat bagi mendapatkan semula hasil keuntungan daripada filem-filem yang dikaitkan dengan 1MDB termasuk filem "The Wolf of Wall Street".
Aset-aset tersebut termasuk hasil keuntungan filem-filem Hollywood itu bernilai sekitar AS$1 bilion (S$1.4 bilion).
Khamis lalu (20 Sep), Encik Najib didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan AS$550 juta (S$750 juta).
Mantan PM Malaysia itu kini bebas atas ikat jamin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.