Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak masih dirawat di hospital; perbicaraan 1MDB ditangguhkan ke 17 Sep

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perbicaraan mantan Perdana Menteri Najib Razak berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan RM2.3 bilion (S$692 juta) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan ke 17 Sept kerana beliau masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat keradangan akut pada lutut.

Perunding kanan Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HKL Dr Siti Hawa Tahir memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pasukan perubatan perlu memantau perkembangan Encik Najib selepas memberinya ubat opioid dua hari lepas.

"Sijil sakit (MC) Najib untuk hari ini dan esok diberi berdasarkan penilaian semalam kerana apabila melibatkan keadaan keradangan akut seperti ini, ia memerlukan penilaian harian. Beliau perlukan rehat dua hari.

"Kesakitan berkurangan dengan opioid, tetapi beliau mengalami beberapa kesan sampingan termasuk loya dan mengantuk. Datuk Seri Najib juga menghidap apnea tidur yang menjadi kebimbangan kami kerana beliau perlu dipantau dengan teliti ketika menggunakan opioid," kata Dr Siti Hawa dari kandang saksi pada Khamis (12 Sep).

Ketika ditanya Hakim Sequerah sama ada Encik Najib dapat menghadiri perbicaraan pada Jumaat, Dr Siti Hawa berkata ia bergantung pada penilaian pakar psikiatri terhadap keadaan mental mantan Perdana Menteri itu kerana beliau menggunakan opioid.

"Apabila kami berbual, Najib boleh faham dan beliau dapat menyampaikan mesej mengenai gejala yang dialaminya.

"Bagaimanapun, pakar psikiatri ialah pihak yang paling sesuai menjelaskan keadaan mental beliau sebelum dapat ke mahkamah kerana pembersihan ubat daripada darahnya akan mengambil masa beberapa jam," kata Dr Siti Hawa.

Selepas mendengar penjelasan daripada Dr Siti Hawa, Hakim Sequerah mengosongkan perbicaraan untuk Khamis dan Jumaat, dengan mengharapkan Encik Najib dapat menghadiri perbicaraan pada Selasa depan (17 Sept).

Prosiding kini memasuki peringkat penghujahan lisan, tiada testimoni saksi dikemukakan. Pasukan pembelaan dan pendakwaan sedang menyediakan hujah terakhir bagi mengemukakan kesimpulan sama ada bukti lisan dan dokumentari akan mensabitkan atau membebaskan Encik Najib daripada pertuduhan.

Encik Najib, 71 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$692 juta) daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Encik Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan