Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak masih dalam wad; perbicaraan 1MDB ditangguh

Anggaran Waktu Membaca:
Najib Razak masih dalam wad; perbicaraan 1MDB ditangguh

Gambar fail: Bernama

Diterbitkan : 11 May 2023 04:34PM Dikemas Kini : 11 May 2023 04:35PM
KUALA LUMPUR: Perbicaraan Najib Razak berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi ditangguhkan pada Khamis (11 Mei) setelah mantan perdana menteri itu masih menerima rawatan di wad kerana masalah cirit-birit.

Hakim Mahkamah Rayuan Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas Pakar Perubatan Klinikal Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Fadhli Zil Ikram Karim memberi penjelasan mengenai keadaan kesihatan Encik Najib semasa prosiding pada Khamis.

Encik Mohd Fadhli ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata beliau telah memeriksa Encik Najib semasa menjalankan tugas pada 7.20 pagi Khamis. Encik Najib dimasukkan ke hospital pada Selasa (9 Mei).

“Apabila saya memeriksa Najib, beliau mengadu masih mengalami cirit-birit dan hasil pemeriksaan mendapati beliau masih mengalami cirit-birit.

“Kami meneruskan pemantauan dan tekanan darahnya stabil. Bagaimanapun, disebabkan cirit-birit, beliau menunjukkan tanda-tanda berisiko tinggi mengalami dehidrasi. Kami perlu menahannya di wad untuk infusi garam intravena (IV) bagi menghidrat semula dan memantaunya,” kata beliau.

Menjawab soalan Encik Ahmad Akram, Encik Mohd Fadhli berkata selepas berunding dengan pegawai atasannya, mereka membuat kesimpulan bahawa Encik Najib tidak sihat untuk hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes 1MDB kerana perlu dipantau dan diwadkan untuk infusi IV secara berterusan.

Encik Najib telah diberi cuti sakit selama sehari.

Perbicaraan dijadual bersambung pada 21 Jun.

Encik Najib, 70 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion (S$677 juta) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan