Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak langsung ‘tidak diwakili’ semasa rayuan terakhir

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Najib Razak secara keseluruhannya “tidak diwakili” semasa rayuan terakhir sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International, sidang lima Hakim Mahkamah Persekutuan diberitahu.

Mahkamah mendengar permohonan Encik Najib memohon kebenaran untuk menyemak penolakan rayuannya pada 23 Ogos tahun lalu, dan satu lagi permohonan memohon sidang hakim lain di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar balik kesnya dengan sekurang-kurangnya tujuh anggota.

Peguam Encik Najib, Shafee Abdullah, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan permohonan peguam, Hisyam Teh Poh Teik, menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu tidak lama sebelum pendengaran rayuan berlangsung seolah-olah seperti “representasi terpaksa”.

Menurut laporan agensi berita Free Malaysia Today, Encik Shafee berkata Encik Hisyam pada 18 Ogos 2022 sudah memaklumkan kepada sidang lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, berhubung hasrat menarik diri daripada mewakili Encik Najib.

Encik Hisyam berkata beliau tidak mempunyai cukup masa membuat persediaan selepas permohonan menangguhkan pendengaran ditolak.

Beliau memohon penangguhan “tiga ke empat bulan” bagi membolehkan beliau membuat persiapan, namun sidang hakim menolak permohonan itu dan mengarahkannya terus mewakili Encik Najib sehingga penghujung pendengaran.

Encik Hisyam dilantik mengetuai pasukan pembelaan Encik Najib kurang sebulan, pada 25 Julai, dengan firma Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners bertindak sebagai peguamcara, menggantikan Encik Shafee dan firmanya, Shafee & Co.

Penolakan permohonan penangguhan menyebabkan Encik Hisyam “terbelenggu” ketika mewakili Encik Najib kerana tidak mempunyai masa secukupnya melakukan persediaan, kata Encik Shafee di mahkamah.

“Kebebasan peribadi (Najib) menjadi pertaruhan selepas beliau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan dikenakan denda sebesar RM210 juta (S$63 juta),” katanya, dipetik daripada agensi berita Free Malaysia Today.

Pendengaran berlangsung di hadapan sidang lima hakim, diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.

Sidang hakim lain melibatkan Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan, dan Abu Bakar Jais.

Pada 28 Julai 2020, Encik Najib disabit bersalah oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Nazlan Ghazali, yang ketika itu menjadi hakim Mahkamah Tinggi, atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah jenayah, membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta (S$13 juta).

Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak, pada 8 Disember 2021.

Beliau dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Bekas perdana menteri itu memfailkan usul menyemak keputusan penghakiman atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk hak mendapatkan perbicaraan adil dan peguam.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan