Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak kekal dipenjara 12 tahun; mahkamah tolak permohonan semak kes SRC

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Jumaat (31 Mac) menolak permohonan mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta (S$13 juta) milik SRC International Sdn Bhd.

Susuli itu, keputusan yang dibuat pada 23 Ogos 2022 oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$63 juta) terhadap Encik Najib, adalah kekal.

Empat panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli membuat keputusan untuk menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu, lapor Astro AWANI. 

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Kiat ketika membacakan keputusan itu memberitahu, hak Encik Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tidak dinafikan ketika pendengaran rayuan.

Sebaliknya, katanya, peguam beliau, Encik Hisyam Teh Po Teik enggan mengemukakan penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh Hakim Tengku Maimun.

Justeru, katanya, Hakim Tengku Maimun akhirnya terpaksa menolak rayuan tersebut.

“Sehubungan itu, tiada kesilapan mahkamah ketika pendengaran rayuan Najib dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta (S$13 juta) oleh panel hakim pada tahun lalu,” katanya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat. 

Dalam keputusan majoriti 4-1, panel membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada Ogos 2022 itu, menurut Astro AWANI. 

Keputusan yang dibacakan Hakim Ong itu disokong Hakim Rhodzariah Bujang dan Hakim Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, namun Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Encik Najib bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Hakim Mohd Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$63 juta) ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 dan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan