Skip to main content

Dunia

Najib Razak halang dana 1MDB AS$3 bilion dibawa pulang dari Switzerland

Anggaran Waktu Membaca:
Najib Razak halang dana 1MDB AS$3 bilion dibawa pulang dari Switzerland

Gambar fail: Bernama

Diterbitkan : 24 Jan 2024 05:02PM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Rabu (24 Jan)diberitahu bahawa mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tidak membenarkan dana AS$3 bilion (S$4 bilion) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Switzerland, dibawa pulang ke Malaysia pada 2013.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin, 37 tahun, berkata perkara itu diberitahu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

"Mohd Hazem selaku Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB Global Investment Ltd (1MDB-GIL) tidak mempunyai akses dan kawalan ke atas dana yang diterbitkan daripada bon ini.

Encik Hazem sudah beberapa kali membuat permintaan kepada Encik Najib untuk membawa pulang dana tersebut bagi membiayai keperluan 1MDB, namun Low Taek Jho  atau Jho Low, menyampaikan arahan bahawa dana itu tidak boleh dibawa pulang kerana ia untuk kegunaan dana pilihan raya UMNO," katanya.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 95 muka surat, dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion (S$540 juta) milik 1MDB yang dihadapi Encik Najib.

Saksi menambah, Encik Hazem pernah memaklumkan perkara tersebut (dana) kepada bekas Ketua Setiausaha Sulit Encik Najib, Allahyarham Azlin Alias dan Pengerusi 1MDB Lodin Wok Kamaruddin, untuk memanjangkan kepada Encik Najib.

"Walau bagaimanapun, Najib tidak membenarkan dana ini dibawa pulang, dan tiada sebab yang jelas diberikan," katanya.

Saksi itu juga berkata bahawa pada 19 Mac 2013, wang terbitan nota AS$3 billion (S4 bilion) itu dimuktamadkan dan dipindahkan ke dalam akaun 1MDB-GIL di BSI SA, Lugano Switzerland dengan jumlah AS$2,721,000.00 (S$3.6 juta).

Jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun yang dinyatakan adalah kurang daripada jumlah sebenar, setelah ditolak caj-caj perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak Goldman Sachs. Akaun itu dibuka di BSI Lugano pada 11 Mac 2013.

Beliau berkata, pada 13 Mac 2013, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Encik Najib bersetuju supaya kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengeluarkan surat sokongan terhadap terbitan dana AS$3 billion (S$4 bilion) oleh 1MDB.

"Pada keesokan hari (14 Mac 2013), Najib selaku Menteri Kewangan telah menandatangani surat sokongan kepada 1MDB untuk pinjaman berjumlah US$3 billion (S$4 bilion)  dengan Goldman Sachs bagi mengadakan perjanjian usahasama dengan pihak Aabar PJS," katanya.

Terdahulu, keterangan saksi berhubung dana AS$3 bilion (S$4 bilion) di Switzerland dibantah peguam Tania Schivetti yang mewakili Encik Najib dengan alasan ia adalah hanya "dengar cakap". 

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengambil kira bantahan yang dikemukakan pihak pembelaan.

Perbicaraan sedang berlangsung.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita