Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak gagal gugurkan hakim Mahkamah Rayuan dengar permohonan semakan keputusan

Anggaran Waktu Membaca:
Najib Razak gagal gugurkan hakim Mahkamah Rayuan dengar permohonan semakan keputusan

Gambar fail mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

PUTRAJAYA: Najib Razak gagal dalam usahanya untuk menggugurkan hakim Mahkamah Rayuan daripada menganggotai panel hakim yang mendengar permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan serta hukuman terhadapnya kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli berkata mahkamah tidak diyakinkan dengan hujah peguam Muhammad Shafee Abdullah bahawa Hakim Abu Bakar Jais, yang merupakan hakim Mahkamah Rayuan seharusnya menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

“Pada pandangan kami, undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara (Tengku Maimun Tuan Mat) diberikan kuasa budi bicara untuk melantik hakim Mahkamah Rayuan (Abu Bakar) untuk menganggotai panel Mahkamah Persekutuan, menurut Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan."

“Atas alasan yang sama, kami menolak hujah bahawa Hakim Abu Bakar tidak sepatutnya terlibat dalam pendengaran permohonan semakan ini."

"Oleh itu, bantahan awal ditolak. Kami akan terus mendengar permohonan itu," kata Encik Abdul Rahman.

Hakim lain dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan.

Sebelum ini, Encik Muhammad Shafee mengemukakan bantahan awal atas alasan Encik Abu Bakar tidak sepatutnya berada dalam panel hakim untuk mendengar permohonan itu.

Beliau mahu hakim itu menarik diri, dengan menyatakan bahawa hanya hakim Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya menjadi panel hakim dalam prosiding semakan tersebut.

Encik Muhammad Shafee berkata mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram berhujah bahawa pengaturan untuk memilih hakim Mahkamah Rayuan dibenarkan di bawah Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan pula, beliau berkata Tengku Maimun sudah memenuhi keperluan Perkara 122 dengan pemilihan Encik Abu Bakar sebagai anggota panel hakim.

Encik Najib dalam usaha untuk membatalkan keputusan dibuat lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta (S$12 juta) dana SRC International.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan