Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak fail permohonan cabar keputusan Jabatan Penjara

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Najib Razak memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang menolak permintaannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Bekas perdana menteri itu memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman melalui Tetuan Shafee & Co pada Rabu (5 Okt) di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Najib, 69 tahun, menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden.

Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa beliau berhak mendapat akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya serta memohon perintah mandamus kepada responden supaya mengambil segala langkah yang perlu bagi membolehkannya mendapat akses yang munasabah kepada pegawainya/pembantu bagi tujuan tersebut.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata keputusan responden pertama dan ketiga yang menolak permohonannya atas alasan keselamatan disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 September dan beliau sudah merayu terhadap keputusan itu kepada responden kedua pada 30 September.

Memandangkan hari pertama persidangan Parlimen dijadual pada 3 Oktober, Najib berkata beliau memohon supaya keputusan dibuat segera agar permohonan itu menjadi tidak bermakna atau bersifat akademik.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada sebarang maklum balas daripada responden kedua dan mengambil kira keperluan masa, beliau memfailkan tindakan undang-undang tersebut.

Najib juga menyatakan bahawa keengganan responden pertama dan ketiga untuk membenarkannya mengakses kepada pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua adalah tindakan tidak munasabah atau tidak rasional.

Najib berkata menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan.

“Penafian hak itu oleh responden kerana menolak keupayaan saya untuk mentadbir kawasan pilihan raya saya adalah sebenarnya penafian terhadap kesejahteraan kawasan Parlimen Pekan,” katanya dalam afidavit itu.

Permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid pada 12 Oktober.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan permohonan itu difailkan pada 5 Oktober pada pukul 1.00 tengah hari.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan