Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak diberi cuti sakit dua hari, perbicaraan 1MDB ditangguhkan ke 11 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
Najib Razak diberi cuti sakit dua hari, perbicaraan 1MDB ditangguhkan ke 11 Mei

(Gambar: Azneal Ishak/Malaysiakini)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa (9 Mei) menangguhkan perbicaraan rasuah 1MDB mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang membabitkan RM2.28 bilion (S$677 juta) kerana bekas perdana menteri itu mengalami cirit-birit.

Perbicaraan dijadualkan pada Selasa dan Rabu (10 Mei), menurut Malaysiakini. 

Pegawai perubatan Penjara Kajang Dr Mohd Hafiz Mohd Hoshni memberitahu mahkamah pada petang Selasa bahawa Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberikan cuti sakit (MC) dua hari untuk Encik Najib.

Encik Hafiz yang dipanggil untuk memberi penjelasan kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, berkata seorang penolong pegawai perubatan di penjara itu memaklumkan bahawa Encik Najib mengalami sakit perut dan cirit birit sejak Isnin (8 Mei).

“Sekitar pukul 7.30 pagi, saya memeriksanya. Saya tanya dia apa masalah dan dia cakap dia sakit perut dan loya serta terpaksa ke tandas untuk buang air besar sebanyak empat kali.

“Kemudian saya berinya pil arang dan selepas 10 minit, dia kata keadaannya tak berubah. Saya periksa lebih lanjut dan dapati dia kekurangan air dan ada sedikit demam dengan suhu 37.8 darjah,” tambahnya.

Encik Hafiz berkata, beliau kemudian merujuk Encik Najib supaya ke HKL dan tertuduh dibawa ke hospital itu antara pukul 9.30 pagi dan 10 pagi Selasa. 

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, pegawai perubatan itu berkata Encik Najib kelihatan "penat, lesu dan kekurangan air". 

"Dia (Najib) tidak cergas untuk hadiri perbicaraan kerana perlu diberi 'drip' yang dimasukkan dalam saliran darah dan tidak mampu berdiri sebab duduk terlalu lama," Malaysiakini memetik kata-kata Encik Hafiz. 

Pegawai perubatan itu, ketika menjawab soalan peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau perlu merujuk Najib ke HKL supaya tertuduh mendapat akses kepada rawatan lebih rapi daripada pakar di sana.

Hakim Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan dan mengarahkan prosiding disambung semula pada Khamis (11 Mei), lapor Malaysiakini.

Encik Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion (S$677 juta) daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas menteri kewangan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

1MDB adalah dana pelaburan negara Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Encik Najib juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan