Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib Razak akui Jho Low tipu kerajaan M'sia

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mengaku bahawa kerajaan Malaysia ditipu oleh Low Taek Jho atau Jho Low, yang kini menjadi buruan atas kesalahan menyalahgunakan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Anggaran Waktu Membaca:
Najib Razak akui Jho Low tipu kerajaan M'sia

Ahli perniagaan Malaysia, Jho Low. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 22 Nov 2018 06:27PM Dikemas Kini : 22 Nov 2018 06:29PM

SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mengaku bahawa kerajaan Malaysia ditipu oleh Low Taek Jho atau Jho Low, yang kini menjadi buruan atas kesalahan menyalahgunakan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sehubungan itu, Encik Najib berkata beliau memang mempunyai hubungan profesional dengan tokoh perniagaan kontroversi itu untuk meningkatkan ekonomi negara.

"Kalau itulah kesimpulannya (bahawa kerajaan ditipu Jho Low) kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini. Itulah sebenarnya...,” katanya dalam satu wawancara bersama Penasihat Editorial Karangkraf Abd Jalil Ali, yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Sinar Harian pagi tadi (22 Nov).

Encik Najib berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Encik Abd Jalil mengenai sama ada kerajaan Malaysia ditipu oleh Jho Low.

Encik Najib berkata tindakan perlu diambil terhadap Jho Low sekiranya didapati melakukan pecah amanah.

“Kalau dia (Jho Low) membuat kesalahan dan kalau dia melakukan pecah amanah, dia melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang. Jadi tindakan perlu diambil."

AKUR ADA HUBUNGAN PROFESIONAL DENGAN JHO LOW

Menurut Encik Najib, beliau memang mempunyai hubungan profesional dengan Jho Low dan yakin dengan kebolehannya membawa pelaburan ke negara itu, khususnya dari Timur Tengah.

“Saya melihat beliau dari sudut itu... kalau kita boleh gunakan dia punya hubungan dengan negara-negara itu, kita boleh tingkatkan kerjasama ekonomi dan diplomatik kedua-dua negara kita. Apa yang dilakukan secara peribadi saya tak tahu, saya tahu kemudian sahaja.

“Kalau dikatakan dia ada 'yacht' (kapal layar) besar, ada kapal terbang... kalau dia berparti, saya tidak terlibat malah tak tahu langsung apa yang dilakukan,” katanya

Beliau berkata, kerajaan melantik peguam, juruaudit dan bank Goldman Sachs Group (Goldman) untuk memantau syarikat pelaburan strategik negara itu, namun sebaliknya berlaku apabila ia tidak dikawal selia dengan baik.

KONTROVERSI 1MDB MUNGKIN PUNCA KEKALAHAN BN

Encik Najib juga berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kontroversi 1MDB adalah salah satu punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Pada 20 September lalu, beliau mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan dirinya dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Encik Najib juga didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion (S$753.4 juta).  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan