Skip to main content

Dunia

Najib rayu keputusan Mahkamah batal samannya terhadap Tommy Thomas

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tommy Thomas berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa dengan mendakwanya atas pertuduhan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Yudistra Darma Dorai yang mewakili Encik Najib ketika dihubungi pada Rabu (28 Dis) berkata notis rayuan itu difailkan pada 22 Disember lepas.

Peguam Mervyn Lai, mewakili Encik Thomas yang mengesahkan perkara itu berkata, Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh lanjut mengenai perkara berkenaan.

Pada 25 November lalu, Hakim Ahmad Bache membenarkan permohonan Encik Thomas untuk membatalkan saman berkenaan selepas mendapati tuntutan saman Encik Najib adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Encik Thomas, melalui notis permohonan untuk membatalkan saman itu yang difailkan pada 18 November 2021, antara lain mendakwa jika saman Encik Najib diterus dan dibicarakan, ia akan menyebabkan kes jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri Malaysia itu dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

Encik Najib, yang memfailkan saman itu pada 22 Oktober 2021, mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Encik Thomas dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Encik Najib, 69 tahun, mendakwa beliau dituduh secara salah di mahkamah dalam kes yang membabitkan 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau memohon satu deklarasi bahawa Encik Thomas melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta (S$ 579,457) termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita