Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib nafi dakwaan beliau akan dibebaskan segera jika BN menang PRU15 M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Najib nafi dakwaan beliau akan dibebaskan segera jika BN menang PRU15 M'sia

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

KUALA LUMPUR: Najib Razak menafikan dakwaan bahawa beliau akan dibebaskan segera menerusi pengampunan diraja jika Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia.

Tetuan Shafee & Co melalui kenyataan pada Selasa (15 Nov) memaklumkan bahawa Encik Najib meluahkan kekecewaan mendalamnya terhadap tindakan menggunakan namanya dalam propaganda politik yang tidak berasas meskipun mantan Perdana Menteri Malaysia itu sudah dipenjarakan.

"Anak guam kami ingin menafikan sekeras-kerasnya kesemua dakwaan ini. Anak guam kami secara konsisten, sejak permulaan perbicaraannya pada 2018, menyatakan bahawa beliau mahu dibebaskan melalui proses kehakiman di mahkamah kerana beliau bukan sahaja ingin mendapatkan kebebasan tetapi juga membuktikan integriti dan legasinya.

"Beliau yakin bahawa peluang terbaiknya untuk dibebaskan ialah melalui permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan selaras dengan Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

"Permohonan Encik Najib secara khusus bersandarkan kepada asas bahawa proses dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan beliau terjumlah kepada menafikan hak perlembagaannya bagi perbicaraan yang adil kerana peguam tidak diberi peluang melakukan persiapan rapi sehingga menyebabkan tiada hujah dikemukakan sekali gus meletakkan anak guam kami dalam situasi tanpa wakil pembelaan yang efektif di mahkamah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut jika keputusan permohonan semakan kehakiman memihak kepada Encik Najib, mantan Perdana Menteri Malaysia tersebut akan memohon perbicaraan semula bagi membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

Encik Najib, 69 tahun, kini meringkuk di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (S$63 juta) yang dijatuhkan ke atasnya selepas beliau didapati bersalah menyeleweng RM42 juta (S$12 juta) dana SRC International Sdn Bhd.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan