Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib mohon sama pasport dipulangkan sementara untuk temani anak di S'pura

Selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Jumaat (15 Okt) membenarkan pasport Rosmah Mansor dipulangkan sementara untuk melawat anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua dalam tempoh dua minggu lagi, Najib Razak turut membuat permohonan sama di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib mohon sama pasport dipulangkan sementara untuk temani anak di S'pura

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 15 Oct 2021 11:06PM Dikemas Kini : 15 Oct 2021 11:11PM

KUALA LUMPUR: Selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Jumaat (15 Okt) membenarkan pasport Rosmah Mansor dipulangkan sementara untuk melawat anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua dalam tempoh dua minggu lagi, Najib Razak turut membuat permohonan sama di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Berdasarkan salinan dokumen yang diperoleh menerusi sistem kehakiman hari ini, dinyatakan bahawa bekas perdana menteri Malaysia itu membuat permohonan untuk pasport antarabangsanya diserahkan secara sementara kepadanya bermula 20 Okt ini atau seawal yang mungkin sehingga 22 Nov 2021.

Najib memfailkan notis usul itu semalam (14 Okt) menerusi Tetuan Shafee & Co bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua dalam masa terdekat.

Dalam notis itu, Najib memohon untuk pasportnya diserahkan selewat-lewatnya pada 20 Okt ini bagi membolehkan beliau membuat pembaharuan pasport sebelum berangkat ke Singapura pada 3 Nov depan.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata anak perempuannya itu kini menetap di Singapura bersama suami dan anak sulungnya yang berusia empat tahun.

"SAYA BERTANGGUNGJAWAB UNTUK PASTIKAN NOORNYANA DIJAGA RAPI"

“Selain suami dan anaknya, Nooryana tidak mempunyai ahli keluarga lain di sana untuk membantu dan menemaninya sepanjang tempoh mengandung sehingga kelahiran tersebut.

“Saya bertanggungjawab untuk memastikan Nooryana dijaga rapi dan mendapat sokongan serta rawatan yang diperlukan memandangkan beliau pernah mengalami komplikasi yang serius semasa melahirkan anak pertamanya,” kata Najib dalam afidavit itu.

Najib berkata beliau juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana keluarga dan kerjayanya sebagai seorang bekas menteri dan menteri besar selain sumber pendapatan serta hartanya berada di Malaysia.

“Tambahan pula, saya sedang berada di bawah ikat jamin RM7 juta (S$2.27 juta) dan ia bukanlah jumlah yang kecil. Saya juga telah menghadiri kesemua tarikh perbicaraan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini,” katanya.

Peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib ketika dihubungi pemberita mengesahkan bekas perdana menteri itu telah memfailkan permohonan tersebut.

Berdasarkan hasil semakan di laman web kehakiman, permohonan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Isnin depan (18 Okt).

Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan