Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib minta maaf kenyataan tidak sensitif terhadap LGBT, pengguna lebuh raya waktu malam

Mantan Perdana Menteri Najib Razak pada Selasa (26 Feb) meminta maaf atas kenyataannya yang tidak sensitif terhadap para pemandu yang menggunakan lebuh raya pada waktu malam dan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Anggaran Waktu Membaca:
Najib minta maaf kenyataan tidak sensitif terhadap LGBT, pengguna lebuh raya waktu malam

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 26 Feb 2019 07:11PM Dikemas Kini : 26 Feb 2019 07:18PM

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Najib Razak pada Selasa (26 Feb) meminta maaf atas kenyataannya yang tidak sensitif terhadap para pemandu yang menggunakan lebuh raya pada waktu malam dan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau memohon maaf dalam satu catatan Facebook selepas mencetuskan kontroversi dengan mengatakan bahawa rancangan kerajaan untuk memansuhkan tol di empat lebuh raya dari jam 11.00 malam hingga 5.00 pagi hanya akan memanfaatkan "hantu, kaki botol, LGBT dan yang mencari pelanggan".

"Saya dengan rendah hati mohon maaf jika ada yang berasa tersinggung."

Encik Najib menjelaskan, semasa sesi dialog menjelang Pilihan Raya Kecil Semenyih pada Isnin (25 Feb), beliau hanya mengulangi apa yang diteriak orang-orang yang hadir, sebagai jawapan kepada soalannya tentang siapa yang akan meraih manfaat daripada langkah kerajaan Malaysia itu.

"PH (Pakatan Harapan) dan media seharusnya tidak menggunakan sepatah dua kata saya dari sembang santai semalam sebagai percubaan untuk memesongkan fakta sebenar iaitu kegagalan PH untuk menunaikan janji manifesto," kata Encik Najib.

Antara janji kerajaan PH semasa kempen Pilihan Raya Umum pada Mei 2018 adalah pemansuhan semua bayaran tol.

Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

(Gambar fail: Lai Seng Sin/Reuters)

Bagaimanapun, Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengatakan bahawa langkah memansuhkan tol di semua lebuh raya tidak mungkin dilaksanakan. "Janji dalam manifesto itu kita buat dengan tanggapan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Kini, setelah mengambil alih, kami merasakan manifesto itu satu bebanan besar," kata Dr Mahathir sebelum ini.

Pada Disember, Putrajaya menyatakan bahawa ia akan mengekalkan semua harga tol sedia ada bagi 21 lebuh raya tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha-usaha untuk meringankan beban kos sara hidup yang kian meningkat.

Pada hujung minggu lalu, kerajaan PH mengumumkan rancangan untuk mengambil alih sistem konsesi empat lebuh raya - Lebuhraya Damansara Puchong, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat, Lebuhraya Shah Alam dan Terowong SMART.

Tol-tol lebuh raya akan digantikan dengan sistem caj kesesakan.

Harga tol akan dikekalkan pada waktu sibuk sementara diskaun 30 peratus akan diberikan di luar waktu sibuk. Tiada bayaran tol dikenakan bagi semua lebuh raya antara 11.00 malam hingga 5.00 pagi.

Pada Selasa, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengatakan bahawa para pemandu dijangka menjimat sebanyak RM180 juta (S$60 juta) setiap tahun dengan kesesakan trafik berkurangan pada waktu sibuk.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan