Najib mengaku tidak bersalah arah pinda Laporan Akhir Audit 1MDB
Mantan Perdana Menteri Najib Razak hari ini (12 Dis) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipinda.
Gambar fail mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Najib Razak hari ini (12 Dis) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.
Encik Najib membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, dengan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. Ini dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.
Anggota Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 hingga 26 Februari 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 (S$3,300), mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, mengetuai pasukan pendakwaan manakala Encik Najib diwakili barisan pembelaan yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.