Skip to main content

Dunia

Najib kemukakan representasi kedua berkaitan tuduhan pecah amanah RM6.6 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
Najib kemukakan representasi kedua berkaitan tuduhan pecah amanah RM6.6 bilion

Gambar fail mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 09 Aug 2023 03:00PM
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menghantar representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Najib dan Mohd Irwan didakwa pada 2018 atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion (S$1.94 bilion) berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Dalam prosiding pada Rabu (9 Ogos), Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin bahawa pihaknya menerima surat representasi pada minggu lalu daripada Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib.

“Jadi, kami perlukan masa untuk meneliti surat representasi kerana kes ini melibatkan dokumen yang banyak. 

"Saya telah diarah memohon satu lagi tarikh pengurusan kes untuk Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mempertimbangkan representasi ini,” kata Encik Saifuddin.

Sementara itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan peguam K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan memohon satu tarikh dalam tempoh masa sebulan.

Hakim Muhammad Jamil menetapkan 12 Sept depan untuk pengurusan kes.

Najib mengemukakan representasinya dua tahun lepas tetapi ditolak manakala representasi dihantar Mohd Irwan pada 2020 tidak dijawab AGC.

Mohd Irwan sehubungan itu menghantar permohonan representasi baharu pada Mac lepas.

Pada 24 Okt 2018, Najib, 70 tahun, dan Mohd Irwan, 66 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion (S$1.94 bilion) berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita